`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 7, 2013

Percayalah!


Blog ini tidak henti-henti dan tidak pernah jemu menyarankan pemimpin kerajaan hari ini (UMNO) supaya membuat ‘initiative’ untuk memulakan politik dan kepimpinan baru, berserta dengan kembali menebalkan roh perjuangan yang dahulu. Jika benar masing-masing sayangkan negara dengan sejujurnya hentikan bercakap dengan mendabik dada yang mereka telah berjaya dan mengakui yang kita sedang dalam keadaan baik.

Tidak guna menutup segala kelemahan dengan bercakap bergegar-gegar sedang di dalam diri tersemat perasaan gusar dan gundah gulana, menunggu saat di humban dan di nyiahkan oleh rakyat. Rakyat ada had kesabarannya. Jangan menjadikan rakyat sebagai pelapik untuk kepentingan dan ego masing-masing. Sampai bila rakyat hendak bersabar dengan keresahan di dalam diri mereka yang tidak di selesaikan.

Masing-masing sayangkan negara. Rakyat sayangkan negara kerana mereka manusia biasa dan mereka tidak ada negara lain untuk berhijrah. Mereka tidak mempunyai peluang untuk mengumpilkan harta melalui kuasa dan rasuah yang membolehkan mereka lari ke negara lain untuk hidup bermewah-mewahan sementara menunggu mati. Mereka mahukan kepimpinan yang jujur dan berkemampuan.

Harga barang makan begitu tinggi. Jika mereka tidak ada kereta mereka boleh tangguhkan pembelian kereta itu sampai waktu mereka mempunyai cukup wang untuk membeli kereta atau motosikal mengikut kemampuan mereka. Tetapi makan tidak boleh ditangguhkan. Makan itu amat perlu setidak-tidaknya dua kali sehari. Hendak beribadah pun perlu sedikit perbelanjaan.

Kain untuk sembahyang sudah lusuh dan perlu di ganti. Rakyat sekarang sudah jatuh miskin. Kita pun pernah mendengar yang kemiskinan itu akan membawa kekufuran. Jika tidak juga sedar yang rakyat sudah tidak tahan dengan kesusahan yang kian hari kian jelas di rasakan, ia bermakna UMNO sedang menunggu waktu mautnya. Apabila keseluruhan rakyat sudah tidak tahan lagi dan wujud kekufuran di kalangan mereka yang terseksa keseluruhan negara.

Pemimpin yang kaya raya kerana duduk dalam kuasa begitu lama mungkin ada tempat berlindung dinegara lain tetapi bagi rakyat yang ramai hanya negara ini sahaja ‘sanctuary’ yang ada kepada mereka. Jangan biarkan sehingga rakyat lapar. Kekufuran rakyat itu tidak akan mudah diatasi, kerana mereka sudah merasakan kepahitan hidup agak lama. Najib dan Muhyiddin wajar ingat isu ini.

Rakyat sudah begitu kecewa. Dalam pada mereka berjuang dan berhempas pulas untuk menyara perkara asas untuk hidup kita di paparkan dengan lapuran pemimpin-pemimpin kita bermewah-mewahan dengan terbang ke merata dunia dengan jet peribadi dan membelanjakan hampir seratus juta ringgit dalam tiga tahun menggunakan wang mereka. Siapa yang tidak marah dan siapa yang tidak terasa hati? Kenapa pemimpin tidak mahu berkorban langsung untuk negara?

Tetapi rakyat tidak begitu zalim. Dari sekarang buat kerja yang baik dan rakyat mahukan itu sahaja. Lupakan segala peristiwa yang buruk dahulu. Jika perlu berhenti dan memberikan kuasa dan tanggungjawab untuk membawa kembali negara ke landasan yang betul, jangan teragak-agak lakukan. Tidak perlu tanya isteri masing-masing kerana kita perlu ingat isteri itu adalah kaum hawa dan hawa dijadikan dari tulang rusuk kiri Adam.

Hawa tidak dijadikan dari kepala untuk memerintah kita, dan Hawa juga tidak dijadikan dari kaki Adam untuk kita jadikan landasan mencuci kaki. Hawa itu dari rusuk kiri Adam untuk bersama di sisi dan membantu Adam dan memberikan nasihat yang baik dan berguna kappa masyarakat. Hawa perlu di didik dan di tunjuk ajar dan bukan untuk memerintah Adam.

Rakyat merasakan segala-galanya hanya mereka sahaja yang berkorban. Pemimpin di sebaliknya tidak mahu mengubah cara hidup mereka dan terus-terus berfoya-foya dengan kemewahan yang di biayai oleh rakyat. Pemimpin kena ada perasaan malu biar pun sedikit.

Tidak lama lagi rakyat akan di bebankan dengan GST lagi setelah rakyat di bebankan dengan kenaikan harga minyak petrol. diesel dan gas. Harga rokok naik dengan mendadak dan penagih rokok terpaksa mengurangkan menghisap rokok. Kenaikan harga rokok itu ada baiknya untuk mengurangkan ketagihan merokok seperti saya ini dan saya tidak menentang kenaikan itu. Setidak-tidaknya saya dapat mengurangkan ketagihan itu.

Tetapi bagaimana dengan ketagihan yang lain, seperti ketagihan rasuah. Rasuah itu merupakan ‘addiction’ yang terlalu mahal untuk ditanggung oleh kerajaan dan rakyat. Rasuah sudah dibudayakan di setiap jabatan kerajaan dan sesiapa yang terlalu ‘obsessed’ untuk memerangi rasuah di dalam kerajaan tidak akan mendapat pengiktirafan kerajaan itu. Kebanyakan yang di berikan gelaran dan bernama itu secara langsung atau tidak langsung terlibat dengan rasuah kecil dan besar.

Jika penagih dadah di masukkan ke dalam pusat serenti, kenapa penagih rasuah juga tidak di masukkan ke pusat serenti sama. Di dalam pusat serenti itu boleh lah perasuah tegar ini di berikan kelas-kelas fiqah dan mengenal hukum hakam agama. Tidak perlu penagih-penagih rasuah ini di penjarakan. Di pusat serenti sudah mencukupi untuk diberitahu betapa hinanya kerja melakukan rasuah itu.

UMNO boleh memilih siapa dan menggantikan diantara mereka pimpinan parti di setiap peringkat tetapi parti itu sudah menjadi parti yang sudah kehilangan kredibiliti dengan serius. Krisis keyakinan yang dihadapi sekarang merupakan tahap yang terendah sekali dan tidak boleh diubati lagi. Kredibiliti parti itu bergantung kepada manusia yang memimpinnya. Apabila sudah sampai ketahap ini, ia tidak akan diyakini walaupun yang dilakukan mereka perkara yang agak baik dan munasabah.

Masalahnya begitu besar sehinggakan sesiapa sahaja dikalangan mereka yang sedang berkuasa memimpin parti itu ia tetap di pandang rendah bukan sahaja oleh rakyat ramai tetapi oleh ahli-ahlinya sendiri.

Itu sebab saya selalu mengatakan dengan terus terang yang pimpinan hari ini mesti bertanggungjawab dan mengambil ‘accountability’ di atas segala ketidak tentuan hari ini. Sekarang hanya ada dua pilihan sahaja bagi pimpinan UMNO hari ini. Pertamanya dengan terus memimpin dan membiarkan UMNO itu reput dan hancur. Untuk melihat keadaan ini ia boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang. Keduanya pimpinan hari ini wajar mencari manusia yang boleh memimpin dan menjadi pemimpin yang mampu melakukan perubahan sebenar.

Perubahan yang dimaksudkan itu ialah seorang yang boleh di hormati agar penghormatan yang di perolehi oleh pemimpin atau individu itu boleh memberikan nilai tambah kepada keyakinan rakyat ramai terhadap parti itu.

Buatlah pemilihan pada 12 dan 19 oktober ini. Ia tidak akan mengubah keadaan itu. UMNO pasti tergolek jika tidak mengakui kelemahan ini dan berani bertindak drastik untuk menyelamatkan parti ini.

Saya berani bercakap sedemikian kerana apa yang saya perkatakan ini adalah keadaan sebenar-benarnya. Saya tidak peduli apa yang orang lain kata terhadap pandangan ini, kerana kebenaran kepada pandangan ini akan tetap terbukti dan tidak payah menunggu tua untuk melihat kebenaran itu.

'I shall smile last and the sweetest'.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.