Pasukan tangkapan segera (urgent arrest) himpunan 1 Mei percaya, tindakan pihak tertentu menggodam talian telefon taktik baru mengganggu perhimpunan aman.
Dalam kenyataannya hari ini, tindakan tersebut berniat menghalang tugas anggota pasukan dalam usaha koordinasi khidmat peguam untuk sesiapa yang ditahan oleh pihak polis dalam himpunan 1 Mei semalam.
"Tindakan pihak tidak bertanggungjawab berniat jahat dan mala fide, menidakkan hak dan kepentingan peserta untuk diwakili peguam ketika ditahan dan disiasat polis."Ini seterusnya mendedahkan peserta kepada risiko penahanan tidak sah dan tidak berperlembagaan," kenyataan pasukan urgent arrest dipetik.
Sejak pagi 1 Mei 2014 sehingga hari ini, anggota pasukan tak henti-henti menerima panggilan telefon dan SMS daripada orang ramai yang menerima SMS kecemasan.
Dianggarkan ratusan SMS dan ribuan panggilan telefon diterima, kononnya daripada anggota pasukan dan meminta orng ramai menghubungi semula anggota pasukan dengan segera pada hari tersebut.
"Kami melihat tindakan ini cara baru oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu amalan hak dan kebebasan berhimpun rakyat setelah Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 melanggar Perlembagaan Malaysia.
"Kami syak pihak tidak bertanggungjawab memancing nombor telefon persendirian orang awam daripada database syarikat telekomunikasi."Sekiranya benar, kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar privasi dan menggunakan data peribadi orang awam secara tidak sah dan salah.
"Kami menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalam masa 48 jam dari masa terbitan kenyataan ini ke atas insiden ini," tegas kenyataan tersebut.
Pasukan urgent arrest terdiri dari sukarelawan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih) dan Kelab Bangsar Utama (KBU). ~sk
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.