`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 21, 2016

KENAPA NAJIB PAYAH SANGAT NAK LETAK JAWATAN?

Image result for najib won't resign

Suatu ketika dahulu, pertanyaan yang setiap hari biasa didengar ialah "bila Najib nak letak jawatan?"

Tetapi sekarang ini, yang paling kerap ditanyakan pula ialah "kenapa Najib susah sangat nak letak jawatan?"

Jika di negara-negara lain, pemimpin yang terpalit dengan skandal kewangan seperti Najib ini, lumrahnya mereka akan mengundurkan diri dengan senang hati kerana tidak mahu nama baik sendiri, keluarga parti dan negara terus bertambah buruk kerananya.

Di negara kita pula, jangankan disebabkan ada skandal, malah hanya kerana gagal mendapat kemenangan selesa pun mereka akan mengundurkan diri demi sayangkan parti dan negara.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj meletak jawatan selepas keputusan buruk pilihanraya yang diikuti dengan tragedi 13 Mei 1969, manakala Tun Abdullah Badawi juga berundur selepas hilang dua pertiga pada pilihanraya 2008.

Tetapi Najib bukan saja tidak mahu berundur meskipun keputusan pilihanraya 2013 pimpinannya berkurangan tujuh kerusi berbanding pilihanraya 2008, lebih buruk lagi meskipun setelah terpalit dengan kemelut 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta SRC International, beliau masih juga mahu menggagahkan dirinya bertahan di kerusi kuasa Perdana Menterinya.

Najib bukan saja tidak mahu mengikut contoh teladan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Badawi, malah juga berbeza dengan Tun Mahathir Mohamad.  

Meskipun Tun Mahathir juga menghadapi beberapa penentangan ketika eranya, tetapi bukan saja semua persoalan dijawab dengan sebaiknya, malah beliau menutup mulut mereka yang mengkritiknya dengan kejayaan melepasi dua pertiga setiap kali pilihanraya.

Itulah antara sebabnya apabila beliau mengumumkan untuk berundur daripada jawatannya pada 2002, ramai yang menangis dan memujuknya. Dan kemudian apabila peralihan kuasa kepada Tun Abdullah Badawi berlaku pada 2003, kehilangannya begitu dirasai.

Dengan keinginan Najib untuk terus bertahan sedangkan banyak persoalan mengenai dirinya terbiar tidak mampu dijawab, UMNO dan negara pastilah akan menjadi korbannya.

Najib ketika ini bukan saja menjadi tadahan kebencian rakyat dan masyarakat antarabangsa, malah imej negara di bawah kepimpinannya tidak lagi seharum seperti dulu.

Dalam keadaan ini, bukankah berundur lebih baik demi kebaikan UMNO dan juga negara?

Tetapi, kenapa payah sangat Najib mahu berundur? Apa lagi yang mahu dipertahankannya? 

Daripada anak Perdana Menteri kini sudah pun merasa menjadi Perdana Menteri, lalu pencapaian apa lagi yang mahu ditunggunya?

Apakah Najib sebenarnya bimbang tindakan undang-undang dan penjara akan menantinya jika mengundurkan diri ketika ini?

Namun tidakkah, kiranya UMNO dan BN kalah pilihanraya nanti, undang-undang tetap juga akan mengejarnya?

Berapa peratus keyakinan Najib terhadap kemampuan untuk terus mengekalkan kuasa sedangkan setiap hari suara penolakan semakin bergema di mana-mana?

Dengan Tun Mahathir bersama beberapa bekas pemimpin UMNO dan kerajaan sudah bersama pembangkang dalam Deklarasi Rakyat untuk menolak Najib, jika ia berterusan sehingga PRU 14, siapakah lagi yang mampu menyelamatkan masa depan parti itu daripada tertanggal kuasanya?

Sebagai rujukan paling mudah, isu Najib ini boleh saja diumpamakan seperti seorang suami yang kantoi berskandal dengan wanita lain. Menyelesaikannya hanya perlu mengaku dan meminta maaf. Jika maafnya dapat diterima, kembali dan kukuhkanlah rumahtangga semula.

Jika maafnya ditolak, undur diri tetapi yang pentingnya, isteri dan anak-anak boleh mencari kebahagiaan sendiri selepas itu.

Namun dengan terus mempertahankankan diri seolah-olah tiada skandal, sedangkan sudah ada anak sebagai bukti dan jiran-jiran juga bercakap mengenainya, hubungan dengan isteri, anak dan keluarga bukan saja terus mencuka, silap-silap "anunya" suami juga boleh dipotong ketika sedang tidur lena. (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.