`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, October 15, 2016

Rafizi Menulis Tentang RUU355.. Bacalah!


Persidangan Dewan Rakyat yang bermula minggu depan akan dibayangi oleh satu usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS yang kini sering dirujuk sebagai RUU355.

Pelbagai pihak mempunyai pandangan yang berbeza mengenai usul ini. Ia membawa kesan yang besar kepada negara dan rakyat sebelum ini apabila perbezaan pendapat yang (salah satunya) berpunca dari beberapa keputusan yang akhirnya dizahirkan menjadi usul RU355 ini, telah berjaya memecahkan Pakatan Rakyat.

Usul RUU355 ini tidak kurang panasnya kali ini.

Saya pasti pintu depan bangunan Dewan Rakyat akan dipenuhi dengan wartawan yang menunggu untuk menyerbu setiap seorang Ahli Parlimen untuk menanyakan sama ada mereka akan menyokong atau membangkang apabila diadakan pengundian.

Sebenarnya ramai yang salah sangka mengenai usul ini dan kesan pengundiannya jika ia dibenarkan dibentangkan di Parlimen kali ini. Salah sangka ini berpunca dari tiadanya pengetahuan mengenai Peraturan Mesyuarat yang menjadi undang-undang perbahasan dan tatacara Dewan Rakyat. Jika ramai Ahli Parlimen pun kurang mahir mengenai perkara ini (lalu tidak dapat memahami kesan pembentangan usul oleh Ahli Parlimen Marang dan pengundiannya kelak), apatah lagi rakyat kebiasaan.

Begitu banyak peperangan Facebook berlaku dengan kata-kata yang kesat semata-mata kurangnya kefahaman mengenai Peraturan Mesyuarat ini. Begitu banyak yang prasangka terhadap orang Islam atau sesama Islam kerana tidak merujuk dahulu kepada Peraturan Mesyuarat.

Lalu apabila saya mengangkat tangan dalam satu mesyuarat minggu lalu dan merujuk perkara ini, ada yang melopong. Ada yang tepuk meja. Ada yang suruh saya diam dan duduk jauh-jauh kerana bimbang jika saya bercakap, ia boleh mengelirukan rakyat.

Sebenarnya seluruh negara terkeliru, sebab itu saya mahu menulis hari ini iaitu 2 hari sebelum sidang bermula.

Usul yang bakal dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang (jika ia dibenarkan) adalah untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar satu Rang Undang-undang (mengenai menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah) yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Marang tadi dirujuk kepada menteri yang berkenaan untuk dipertimbangkan.

Perhatikan saya “bold” dan saya “gariskan” dua perkataan – “dirujuk” dan “dipertimbangkan”.

Untuk usul itu dibentangkan, ia mesti mendapat kebenaran dari kerajaan. Maknanya ia mesti mendapat kebenaran dari Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan. Kebenaran ini selalunya dizahirkan dalam bentuk keizinan yang diberikan menteri yang bertanggungjawab hal ehwal parlimen (sekarang ini ia dipegang Datuk Azalina Said Othman).

Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak membenarkan, maka usul boleh dibentangkan dan dibahaskan.

Katakanlah usul diberi kebenaran oleh Perdana Menteri dan ia dibahaskan. Setelah dibahaskan maka berlaku pengundian.

Ramai yang menjangkakan akan tonggang terbaliklah Dewan Rakyat jika ia sampai ke peringkat pengundian, kerana jika ia diluluskan maka terlaksanalah hudud di Malaysia. Yang tidak setuju berpandangan ini satu bahaya yang kita mesti hentikan. Yang bersetuju menegaskan kalau tidak setuju maka orang itu menolak Islam.

Hakikatnya jauh panggang dari api, jauh undang-undang dari 1MDB (pepatah kedua saya tambah sendiri).

Sekiranya selepas dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, usul RUU355 itu diundi dan diluluskan – jauh lagi perjalanannya sebelum hukum hudud hatta menaiktaraf mahkamah syariah berlaku.

Sebabnya ialah pengundian yang dibuat selepas pembentangan dan perbahasan usul Ahli Parlimen Marang itu hanyalah bertujuan untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat untuk merujuk rang undang-undang itu kepada menteri yang bertanggungjawab untuk dipertimbangkan.

Selagi menteri yang bertanggungjawab tidak kembali untuk membentangkan rang undang-undang itu sebagai rang undang-undang kerajaan dan dibahaskan kembali, maka undi yang dibuat susulan dari usul Ahli Parlimen Marang itu tidak lebih dari menyatakan sokongan moral tanpa ada kesan undang-undang.

Saya percaya ramai yang sudah mula memaki hamun saya bila sampai ke sini. Ini bukan rekacipta saya. Ini adalah Peraturan Mesyuarat yang mengawal tatacara apabila ada ahli yang bukan dari kerajaan berhajat untuk mencadangkan undang-undang yang boleh dipertimbangkan kerajaan.

Sila sambung bacaan anda di SINI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.