`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, July 3, 2017

PAS PERLU JADI ANAK JANTAN

Hanya ada satu kata: demo!
Selain ia adalah cara menegaskan langkah dan memperkukuhkan kuda-kuda haraki, PAS sangat wajar turun berkumpul menyatakan kesungguhan menolak campur tangan asing di negara ini.
Nampaknya setakat ini kefahaman rakyat mengenai pendirian belum menyeluruh. Di sana sini ada saja kesangsian orang ramai terhadap iltizam PAS antara mahu melawan Umno dan mempertahankan kedaulatan negara.
Sudah berkali-kali pemimpin PAS menjelaskan bahawa mereka tetap bermusuh secara politik dengan Umno dan tidak mungkin kedua-dua parti itu bersatu. Tidak mungkin. Ia sama seperti menjangkakan minyak gamat bersatu dengan air soda.
Apa yang nyata bagai gajah di depan mata ialah politik PAS ialah matang dan sejahtera. Dan untuk kali yang kesekiannya PAS menunjukkan kematangan dalam isu 1MDB.
PAS tidak mencerca semberono. PAS tidak menuduh sembarangan. PAS juga tidak menjala angin. Apa yang PAS lakukan ialah menyukat kail dan joran untuk menduga dalamnya laut di sekitar Kepulauan Cayman. Sesekali PAS menebar jala juga. Itu adalah sunnah perjuangan.
Namun musuh PAS tidak pernah senang hati. Ada saja tuduhan, fitnah dan nista yang dilemparkan kepada parti itu, umpama menghalau kambing ke air. Atau bagai balak terendam dalam banjir di Gua Musang.
Jeritkan di Padang Merbok
Justeru wajar untuk ilmuan-ilmuan PAS yang ramai itu memikirkan langkah ampuh untuk menolak segala kesangsian itu dengan demonstrasi.
Memanglah pengkritik PAS cuma bagai golok kayu – ditetak tidak makan, dijual tidak laku. Tapi PAS bukan aur di atas bukit. Thiqah perlu dijaga dan maruah wajib dipertahankan.
Bidalan, bidalan juga tapi kadang-kadang maksud yang tersurat perlu dijeritkan di tempat terbuka. Di Padang Mebok, misalnya.
Aturlah langkah, bacalah doa dan mohonlah permit. Adakan perhimpunan khas menolak campur tangan asing di negara ini. Kuburkana waham.
Ahli PAS dan orang ramai wajib difahamkan bahawa skandal 1MDB adalah masalah nyamuk di muka kancil.
Mana mungkin kita menjemput beruang datang menampar nyamuk. Paling tidak, kasihanilah nyamuk itu. Ada banyak cara lain untuk mengatasi masalah nyamuk. Bakar sampah supaya keluar asap dan nyamuk tidak lagi hinggap di muka kancil, misalnya.
Penampilan kena betul
Nyamuk juga boleh dihalau dengan mengibas-ngibaskan semutar. Kalau dia degil, kibaskanlah sedikit lebih kuat. Ambil perangkap dan tangkap nyamuk. Beruang boleh berambus dari negara ini.
PAS sebagai sebuah parti yang kaya dengan ilmu bidalan boleh menggunakan segala kepakaran mereka untuk menyampaikan mesej terang lagi nyata kepada seluruh dunia.
Ini masalah Malaysia dan wajib dijelaskan dengan cara budaya Malaysia. Segala teori komunikasi asing tidak perlu. Abaikan teori-teori Ernest Bormann atau Stephen Littlejohn itu. PAS ada kaedah komunikasi cukup ampuh untuk memahamkan umat Malaysia.
Tidak cukup dengan penegasan di tengah padang, peserta demonstrasi itu boleh digalakkan berpakaian tradisional. Hidupkan nostalgia gemilang PAS semasa bermuktamar di Kota Bharu pada Jun tahun lalu.
PAS dan budaya Melayu kini bagai dakwat dengan kertas. Parti itu bukanlah pendukung biawak hidup. Apa yang perlu dihairankan jika anggota dan penyokong PAS berarak beramai-ramai dengan tengkolok dan samping?
Tetapi janganlah pula dibawa keris. Cukup sebilah saja dibawa di atas pentas. Keris panjang yang pernah dihunus di Kota Bharu dulu tentu masih baik terpelihara.
Isikan perhimpunan itu dengan madah dan kiasan, pantun dan syair. Pedulilah sama ada ia madah berhelah seperti nyanyian Ziana Zain atau pantun separuh David Teo itu.
Sajak sudah terlalu biasa
Ketua penerangan PAS sendiri adalah seorang daripada ramai pakar yang begitu mahir dalam bab-bab bidalan serta perumpamaan ini. Beliau boleh memanfaatkan pengetahuan luasnya itu semasa perhimpunan berkenaan.
Sajak untuk menyerlahkan perasaan sudah terlalu mainstream.
Berpantun, bersyair dan lontarlah bidalan tajam menikam buat pengkritik PAS serta negara lain yang nampaknya tidak jemu-jemu mengintai peluang mahu masuk campur dalam hal ehwal dalaman Malaysia.
Untuk menjadikan demonstrasi itu lebih bermakna PAS boleh menjadikan perhimpunan RUU355 pada 18 Februari lalu sebagai duluan (precedent).
Jemputlah anggota kabinet hadir untuk menunjukkan solidariti warga Malaysia menolak campur tangan asing. Tidak ada salahnya untuk mereka berkongsi pentas dengan PAS kerana ia membabitkan kepentingan agama dan bangsa.
Jika Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh duduk semeja dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa menurunkan tukun di laut, tidak ada sebab menteri itu tidak boleh hadir untuk menyokong seruan mempertahankan Malaysia daripada campur tangan negara asing.
Inilah masa Ahmad Shabery – atau menteri lain – membalas budi. Orang berbudi kita berbahasa; PAS memberi BN kenalah balas juga.
Jika PAS berjaya memunculkan dua tiga orang menteri, itu juga satu lagi bukti amalan budaya politik matang dan sejahtera di peringkat nasional.
Dan sepert zikir kebanyakan pemimpin BN, ingat pesan bestari PAS: Rakyat boleh guna kuasa undi dalam pilihan raya untuk tukar kerajaan.
AL-ABRO MOHD YUSUF wartawan Malaysiakini.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.