PETALING JAYA: Baru sahaja kehilangan ibu akibat Covid-19, enam beradik dikejutkan pula dengan pemergian bapa mereka satu jam setengah kemudian.
Ibu mereka, Minah Ma’min, 69, meninggal dunia pada 1.40 pagi, manakala bapa, Mahamood @ Omar Muhammad, 71, pula pada pukul 3 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Pasangan suami isteri itu menetap di Kampung Tanjong Che Mas, Tumpat, Kelantan.
Menurut anak mereka, Zuraida Mahamood, 32, berkata ibu bapanya ibarat ‘sehidup semati’ kerana tidak pernah berenggang ke mana saja ketika hayat pasangan itu.
“Emak dimasukkan ke Hospital Tumpat, dua minggu lalu, selepas kerap demam dan kemudian disahkan positif Covid-19.
“Ketika itu, ayah yang berada di rumah turut menunjukkan gejala sama sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Zuraida berkata, beliau bersama lima beradik tidak berpeluang berbual melalui telefon dengan kedua-duanya, perkembangan ibu bapa diketahui menerusi petugas hospital yang turut mengirimkan foto.
Meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, Zuraida dan adik-beradiknya berkata mereka berasa ralat tidak dapat menatap wajah ibu bapa buat kali terakhir.
Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan sebelah-menyebelah di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato, Kampung Dalam Rhu, hari ini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.