`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 7, 2021

Gara-gara ‘tayang’ pistol tiruan, tiga remaja ditahan

 

Polis berkata ketiga-tiga remaja itu mengaku telah membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak.

IPOH: Polis menahan tiga remaja lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan salah seorang daripadanya memegang senjata menyerupai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di sini.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan rakaman video ketiga-tiga remaja berusia 20 hingga 22 tahun itu melalui aplikasi Whatsapp, pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.

“Perbuatan tiga remaja tersebut telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.

“Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berjaya menangkap dua remaja yang terlibat, serta merampas satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto pada kira-kira pukul 2.30 petang.

“Ketika ditahan, kedua-dua remaja tersebut sedang berkeliaran menaiki motosikal di Jalan Kampung Paloh, manakala seorang lagi remaja yang terlibat telah ditahan pada kira-kira pukul 7 petang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ketiga-tiga remaja itu mengaku telah membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak, dan salah seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dengan dirakam oleh rakan yang lain sebelum video ditularkan.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.