`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 2, 2021

Ibu tunggal temui ajal, 5 beradik hilang tempat bergantung

 

Arwah Emellia Mat Husin, 37, meninggalkan tiga orang cahaya mata yang masih kecil iaitu Aleesya Annabella, 11, Adriana Maisarah, 5, dan Muhammad Hayat Irfan, 2, manakala anak sulung Ainin Sofiya, 21, dan anak kedua Ainin Syafina, 16.

PETALING JAYA: Lima beradik di Kampung Bukit Depu, Terengganu dirundung kesedihan selepas ibu yang merupakan satu-satunya tempat mereka bergantung hidup dan bermanja kini pergi buat selama-lamanya.

Emellia Mat Husin, 37, yang juga seorang ibu tunggal dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, awal pagi semalam.

Lebih memilukan, arwah pergi meninggalkan lima cahaya mata iaitu Ainin Sofiya, 21; Ainin Syafina, 16; dan tiga lagi yang masih kecil iaitu Aleesya Annabella, 11; Adriana Maisarah, 5, dan Muhammad Hayat Irfan yang baru berusia dua tahun.

Anak sulung, Ainin yang kini menetap di Kuala Lumpur dan sudah berkahwin berkata, sebelum ibunya meninggal, dia menyedari arwah mula berubah sikap seperti keanak-anakan, mengidam makanan dan memintanya pulang ke Terengganu.

“Minta saya balik untuk menjenguknya, dan kami selalu buat panggilan nampak perubahan apabila mata dan muka arwah sudah berubah,” katanya kepada FMT.

Ainin berkata, ibunya adalah bekas pesakit kanser tiroid, namun keadaan kesihatannya semakin merosot dan kerap keluar masuk hospital hingga terpaksa berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya.

Berkongsi detik-detik sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, Ainin berkata ketika itu adik bongsu sudah tidur manakala tiga adiknya yang lain tidak henti-henti mengurut kaki arwah yang tiba-tiba kejang.

“Arwah turut mengalirkan air mata menahan kesakitan dan adik-adik bertambah panik apabila muka mama bertukar warna sebelum tiba-tiba rebah meninggal dunia ketika duduk bersandar pada tilam,” katanya.

Ainin berkata, pada pukul 2 pagi semalam dia dihubungi adik memaklumkan ibu sudah meninggal membuatkannya segera bergegas pulang untuk menatap wajah ibu buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara.

Difahamkan, empat beradik itu akan dibawa berpindah ke Chenor, Pahang untuk tinggal bersama nenek mereka, Faridah Endut, berusia 63 tahun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.