PETALING JAYA: Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad membidas pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang hanya akan dibahaskan dalam sidang Parlimen bulan depan.
Beliau berkata, penderitaan yang dihadapi rakyat perlu diutamakan, bukannya soal politik.
“Kita tak ada masa sampai September, berapa ramai akan mati, akan dijangkiti dan akan bunuh diri? Kita perlu bertindak sekarang,” katanya dalam wawancara “Solusi Selamatkan Malaysia” di Facebook Reset Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengakui proses membatalkan Ordinan Darurat belum dimuktamadkan.
Dengan berakhirnya darurat pada 1 Ogos lalu, beliau berkata, soal pembatalan Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak berbangkit.
Katanya, Ordinan Darurat akan dibawa ke Parlimen bulan depan untuk dibahas dan diungkai, sejajar titah Agong dan usul itu akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet esok.
Sementara itu, Mahathir mengulangi kepentingan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dianggotai lebih ramai pakar dan individu yang bukannya ahli politik.
“Masalah halangan usaha kita (dalam MPN) ialah kerajaan, mereka nak buat sendiri, tapi tak tahu apa nak buat. Tak kira siapa kerajaan, asal bagi kuasa kepada badan MPN supaya kita dapat jalankan tugas sekarang, saya yakin dalam jangka pendek ia beri kesan positif.
“Saya sudah tua, saya bukan nak bertanding dah. Saya tidak peduli dapat nama ke tak dapat nama, tujuan kita berkhidmat untuk bangsa kita, negara kita.”
Beliau merayu kerajaan memberi kuasa dan peruntukan kepada sekumpulan pakar untuk menganggotai MPN bagi menangani krisis Covid-19.
“Saya harap kerajaan jangan fikir kami ini musuh, nak jatuhkan kerajaan. Tak apa, nak jadi kerajaan jadilah, tapi bagi kuasa kepada kami menangani masalah ini dengan MPN.”
Sementara itu, bekas menteri Rafidah Aziz turut senada dengan Mahathir dan berharap kerajaan menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi tidak berdasarkan faktor politik.
“Kerajaan yang ada sekarang jangan sesekali buat keputusan kerana politik, kerana buat keputusan berdasarkan politik tidak akan berjaya.
“Apa yang kami cadang, yang mana baik boleh disegerakan buat. Kami tak dapat apa-apa, tak perlu bintang ke apa, sebab kita berkhidmat untuk rakyat dan negara, bukan untuk diri. Yang mana kerajaan buat tak betul sekarang, patut ubah supaya lebih baik.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.