`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 1, 2021

Masjid di Kuala Perlis diarah had aktiviti pengimarahan, perketat SOP

 

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dalam kenyataan berkata sebanyak 16 kes baharu Covid-19 dikesan di negeri itu.

KANGAR: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di Kuala Perlis mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan ketatkan prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkata tindakan itu diambil susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya.

“Semua masjid di Kuala Perlis dan sekitarnya terlibat dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat Zohor hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” kata baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan MAIPs.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs berkata enam masjid yang terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

Katanya, mereka yang berada dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di tempat lain.

Orang ramai diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan tersebut, katanya.

Tuanku Syed Faizuddin berkata hanya pegawai bertugas (imam, bilal dan siak) serta jemaah yang terdiri daripada kalangan jawatankuasa kariah masjid tidak melebihi 12 orang sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti solat jemaah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dalam kenyataan semalam berkata sebanyak 16 kes baharu Covid-19 dikesan di negeri itu.

Kenyataan tersebut menasihati orang ramai agar terus berwaspada dan jangan alpa, khususnya apabila berada bersama individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang tinggi kes Covid-19.

“Semua individu yang pulang dari luar Perlis diminta untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.