KUALA TERENGGANU: Polis menahan 17 individu termasuk dua remaja bawah umur kerana menyertai parti liar di sebuah inap desa di Kuala Nerus, tengah malam semalam.
Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, melibatkan 13 lelaki dan empat perempuan termasuk dua remaja bawah umur berusia 16 hingga 25 tahun.
Katanya, semasa serbuan dilakukan kesemua suspek berada dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah sehingga tidak menyedari kehadiran pihak polis.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh di dalam rumah tersebut, polis menemukan serbuk ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 50g dan pil ekstasi berjumlah 24 biji dianggarkan seberat 9.3g.
“Semua dadah ini digunakan untuk berkhayal dan berhibur dengan memasang muzik yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rohaimi berkata hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati 16 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine termasuk dua remaja bawah umur.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A (1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Peraturan 17 Akta Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB 2021) kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.