`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 9, 2021

Pelihara institusi raja, jangan guna demi kepentingan politik, kata Tengku Hassanal

 

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah bertitah raja pemerintah juga telah diberi tanggungjawab dalam perlembagaan untuk memberi naungan saksama kepada setiap warganegara. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Institusi raja hendaklah dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu kuasa semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

Baginda bertitah raja pemerintah juga telah diberi tanggungjawab dalam perlembagaan untuk memberi naungan saksama kepada setiap warganegara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

“Institusi raja mengatasi garis politik yang kekal bertindak tidak berpihak atau ‘non-partisan’ dan boleh bertindak sebagai penimbang tara sekiranya timbul pertelingkahan politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan negara.

“Dalam erti kata lain, ahli politik juga tidak boleh berselindung atau menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik mana-mana pihak,” titah baginda semasa merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2021 di Wisma Sri Pahang.

Persidangan yang berlangsung secara dalam talian itu juga dihadiri Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Tengku Hassanal juga bertitah perkenan raja pemerintah perlu dihormati sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai formaliti atau ‘ceremonial’ sahaja.

“Institusi raja di Malaysia hendaklah dihormati semua pihak. Kuasa raja pemerintah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tidak wajar dipertikaikan,” titah Tengku Hassanal.

Pada titah itu, Tengku Hassanal juga menasihatkan semua Yang Dipertua Dewan Parlimen dan DUN negeri untuk menjalankan amanah dan tugas sebaik mungkin dengan berpandukan kepada pengalaman, pengetahuan dan integriti yang tinggi bagi menjamin persidangan berjalan telus, adil dan saksama.

“Yang Dipertua mempunyai peranan penting bagi memastikan perdebatan badan legislatif berjalan dengan tertib, sopan dan teratur seperti ‘standing orders’ (peraturan majlis mesyuarat) yang ditetapkan,” titah Tengku Hassanal.

Pada perkembangan lain, Tengku Hassanal bertitah Parlimen dan DUN sebagai badan legislatif yang terulung perlu berusaha memberi pandangan dan rujukan kepada generasi muda sebagai persediaan untuk mereka menggalas tanggungjawab tersebut.

Titahnya, walaupun pelaksanaan persidangan belia di peringkat Parlimen dan negeri diadakan, namun usaha berterusan atau keterlibatan dengan generasi belia perlu diteruskan supaya konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen difahami serta dihayati generasi muda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.