`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 20, 2021

Penduduk Alor Pongsu siap sedia hadapi musibah banjir selepas ban pecah

 

Rakaman video berdurasi satu minit 30 saat menunjukkan ban berkenaan pecah bersama aliran laju sungai.

PETALING JAYA: Penduduk dari tiga kampung di mukim Beriah Alor Pongsu dinasihatkan bersiap sedia menghadapi banjir disebabkan ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Beriah pecah, dekat Alor Pongsu, pagi tadi.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 30 saat, seorang lelaki penduduk tempatan merakamkan gambar ban pecah terbabit, sambil menyatakan, kejadian itu pertama kali berlaku.

Lelaki itu turut menyatakan, bahawa kediamannya bakal dilanda banjir.

“Ban sudah jadi sungai,” katanya dalam rakaman itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Sham Mat Sahat, berkata kejadian ban RTB pecah itu disedari penduduk sekitar jam 8 pagi, dijangka memberi kesan buruk kepada tiga kampung iaitu Kampung Batu 6 1/2, Kampung Matang Pasir Beriah dan Kampung Tebuk Jawa Matang Pasir sekiranya tidak diambil tindakan segera.

Menurutnya susulan kejadian itu kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah dimaklumkan dan tindakan segera akan diambil.

“Buat masa ini pihak JPS membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan segera membaik pulih ban yang pecah itu.

“Kita bercadang membuka satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu sekiranya keadaan menjadi buruk.

“Penduduk khususnya di Mukim Beriah, Alor Pongsu disarankan bersedia dan menyelamatkan barangan berharga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana saiz ban yang pecah itu agak lebar,” katanya memetik laporan Harian Metro di Bagai Serai hari ini.

Pihaknya berharap kejadian banjir besar pada 2003 tidak berulang dan JPS dapat membaik pulih ban yang pecah itu segera.

Hadir sama Pengarah JPS Perak Ir Baharuddin Abdullah, Jurutera JPS Kerian Ir Amphai Eebau dan ADUN Selinsing Mohamad Noor Dawoo.

Sementara itu, Baharuddin berkata pihak JPS akan meletakkan batu bersaiz mega di ban yang pecah bagi menghalang dan mengurangkan kelajuan air di lokasi

Menurutnya itu merupakan langkah awal JPS berikutan keadaan ban yang pecah agak luas.

“Langkah ini langkah awal untuk mengelakkan ban sedia ada terus rebak selain mengelakkan air dari terus melimpah ke kawasan penduduk.

“Berdasarkan keadaan saiz ban yang pecah kita anggarkan ia seluas 20 hingga 30 kaki dan untuk jangka masa panjang RTB Kerian akan dinaik taraf bagi mengelakkan kejadian sama atau yang lebih buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Beriah, Abdul Wahab Che Mai, 45, berkata, dia terkejut apabila paras air di kampung itu naik begitu cepat disebabkan ban pecah.

Katanya, kejadian itu pertama kali berlaku menyebabkan dia tidak sempat berbuat apa-apa.

“Biasanya air naik dalam sekaki namun disebabkan ban pecah, air naik begitu cepat, sehingga lebih tiga kaki sehingga pada jam 4 petang tadi,” katanya.

Dia dan keluarganya kini bersiap sedia sebarang kemungkinan dan akan bertahan selagi mampu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.