`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 17, 2021

Sesi menghadap luar biasa petunjuk ‘gencatan politik’, kata sumber

 

Semua ketua parti akan menghadap Yang di-Pertuan Agong serentak pada 2 petang ini.

PETALING JAYA: Keputusan Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ketua parti, Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara untuk saling bersemuka petang ini menjadi tumpuan kerana ia dilihat luar biasa berbanding amalan sebelum ini.

Pendekatan ini berbeza dengan perjumpaan pemimpin politik dengan baginda pada 2020 yang dibuat secara berasingan bagi menentukan siapa memiliki sokongan majoriti selepas peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sesi menghadap luar biasa ini boleh ditafsirkan dalam banyak cara dengan ada yang mengatakan baginda mungkin menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan individu yang betul dilantik ke jawatan itu, selepas Muhyiddin Yassin “terbukti gagal bersama anggota Kabinetnya yang lemah”.

Seorang sumber berkata, ini mungkin bermakna Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahukan ketelusan dan juga mendengar apa yang pemimpin perlu katakan di hadapan satu sama lain, langkah yang mungkin memberi tekanan kepada sesetengah orang, manakala yang lain mungkin gembira berbuat demikian.

“Ramai kata ini adalah langkah baik kerana ramai pemimpin dilihat bersembunyi di sebalik topeng atas alasan politik. Mereka kini terpaksa bersikap terbuka dan jelas mengenai apa yang mereka miliki serta mahukan. Ia kini mengenai negara, bukan politik lagi.

“Ini mungkin sangat spekulatif, tetapi mungkin apa yang Agong mahukan ialah konsensus terbuka berbanding yang boleh dipertikaikan selepas baginda membuat keputusan seperti sebelum ini. Baginda mungkin meminta mereka menunjukkan sokongan untuk satu sama lain, jika timbul keraguan.”

Sumber berkata, ini ke arah menjadikan semua parti bersetuju dalam bentuk sebuah kerajaan perpaduan untuk negara keluar daripada huru-hara sekarang.

Katanya, langkah ini juga boleh menyaksikan permulaan proses pemulihan negara untuk politik lebih baik.

Agong dijadualkan menemui semua ketua parti di Istana Negara 2 petang ini. Turut dilaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan hadir.

Satu lagi sumber berkata, langkah tidak pernah berlaku ini boleh dilihat sebagai cara untuk memberitahu pemimpin politik bahawa Agong mempunyai rancangan dan ia adalah dekri diraja yang baginda mahu laksanakan tanpa syarat.

“Ideanya ialah membentuk sebuah pasukan yang boleh dipercayai untuk mengambil alih pentadbiran negara selama setahun atau lebih untuk kembali ke landasan betul sebelum menyerahkan mandat kepada rakyat bagi menentukan siapa yang patut menjadi kerajaan.”

Katanya, walaupun mungkin terdapat persoalan mengenai Perlembagaan akan timbul, Agong tentu dinasihatkan beberapa pakar undang-undang bagaimana cara ini boleh dilakukan dengan konsensus untuk melaksanakan gencatan politik bagi waktu tertentu.

“Ini mungkin dapat diterima rakyat kerana mereka bosan dengan semua permainan politik dan dakwaan meragukan majoriti yang berubah mengikut arus. Akuan berkanun (SD) bukan caranya lagi.”

Katanya, SD telah menjadi sandiwara dan Agong jelas tidak akan menerimanya sebagai dokumen akhir untuk membuat keputusan kerana ia tidak berjaya dahulu dan tidak akan berjaya di bawah kesetiaan politik semasa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.