`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 17, 2021

Sidang DUN Kelantan diteruskan, semua wakil rakyat perlu disaring, kata speaker

 

Persidangan DUN Kelantan yang berlangsung selama tiga hari itu akan dijalankan secara bersemuka di Kompleks Kota Darulnaim. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan pada 23 hingga 25 Ogos ini akan diteruskan, kata Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya’kub.

Abdullah ketika dihubungi berkata, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri serta seluruh Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), semalam.

Abdullah berkata, persidangan itu bakal dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19 selain semua ahli DUN perlu menjalani ujian saringan wabak itu.

“Ini bagi memastikan tiada antara mereka yang terlibat dalam sidang DUN itu nanti ‘membawa’ jangkitan Covid-19, malah kita juga tidak akan membenarkan mereka yang mempunyai gejala untuk berada di dalam Dewan bagi mengelakkan risiko berlaku jangkitan penyakit itu,” katanya.

Persidangan DUN Kelantan yang berlangsung selama tiga hari itu akan dijalankan secara bersemuka di Kompleks Kota Darulnaim.

Kali terakhir DUN Kelantan bersidang ialah pada 13 April 2020 selama 45 minit susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.