PETALING JAYA: Sejurus selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa orang ramai bebas mengkritik dan menegurnya tetapi tidak secara ‘melampau,’ Ketua Umno Sungai Petani tampil mendakwa dirinya menjadi “mangsa” hanya kerana mendedahkan status jumlah kematian Covid-19 di Kuala Muda.
“Saya tak komen jelek, hina …(atau) maki MB Kedah pun… tetapi (petang ini) saya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis,” kata Shahanim Mohamad Yusoff di Facebook.
Menurutnya “orang ramai yang komen macam-macam,” tetapi beliau yang dipanggil ke balai polis untuk diambil kenyataan.
“Salahkah ‘up’ status jumlah kematian? ….Bersuara demi rakyat..Allah tahu niat kita..mana demokrasi,” tambah Shahanim.
Petang tadi, Sanusi berkata beliau tidak ambil hati jika ditegur, selagi ia bukan kenyataan hinaan, carut dan fitnah yang menyalahi undang-undang.
Katanya, beberapa penangkapan baru-baru ini adalah susulan laporan polis dibuat pegawainya, yang menganggap kenyataan tertentu terhadapnya sebagai melampaui batas dan tatasusila.
Baru-baru ini empat orang ditahan polis kerana didakwa memecah keamanan dan menyalahgunakan undang-undang internet dengan membuat kenyataan dianggap menghina Sanusi di Facebook.
Ini berkaitan kenyataan dibuat beliau di Sungai Petani pada hujung minggu lalu berhubung penggunaan kontena untuk jenazah Covid-19. Bercakap kepada FMT, Sanusi berkata kebebasan bersuara tidak membolehkan seseorang bertindak sesuka hati.
“Media sosial bukan tempat melempar fitnah, memburuk, mencari salah silap orang, memaki hamun, mengadu-domba, guna bahasa kesat dan sebagainya atas alasan mengkritik pemimpin.
“Jika ada kesilapan yang langgar undang-undang selama menggunakan media sosial, mereka perlu menghadapi akibatnya berdasarkan undang-undang.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.