`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 24, 2021

Uncle Tony gigih bantu OKU cacat penglihatan, miskin harungi PKP

 

Bagi masyarakat buta Kuala Lumpur, bantuan daripada insan seperti Uncle Tony sangat diperlukan. (Gambar Moganraj Villavan)

KUALA LUMPUR: Penularan wabak Covid-19 dan perintah sekatan pergerakan yang berlanjutan benar-benar meninggalkan kesan ke atas kebanyakan masyarakat Malaysia.

Mereka yang kurang berkemampuan khususnya, antara yang paling teruk terjejas diasak dengan pendapatan yang berkurangan.

Penduduk di tengah bandar raya Kuala Lumpur sendiri, ramai yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan yang saban hari semakin sukar.

Bagi mereka yang cacat penglihatan dan kehilangan tempat tinggal, perjuangan ini menjadi lebih perit lagi.

Syukur, masih ada segelintir rakyat Malaysia yang bersedia untuk berdepan cabaran dan memberi pertolongan serta sokongan yang diperlukan oleh golongan yang terjejas ini.

Tony Lian, wajah yang tidak asing lagi di kalangan mereka yang kurang bernasib baik di ibu kota, kerana telah lama melakukan kerja amal bagi memastikan tidak ada lagi yang tidur dalam keadaan lapar.

Lian atau lebih mesra disapa sebagai Uncle Tony, pengasas badan amal Food4U, telah membantu memberi makanan kepada penduduk Kuala Lumpur yang kurang berkemampuan sejak 2016 lagi.

Memandangkan pelaksanaan PKP3.0 yang berpanjangan dan gelombang pandemik semasa yang semakin serius, kerja amalnya juga hampir terhenti.

Sejak 2016, Uncle Tony dan Food4U telah membantu memberi makan kepada masyarakat yang memerlukan di seluruh Lembah Klang. (Gambar Moganraj Villavan)

“Sejak wabak bermula, kami telah membantu golongan gelandangan dan mereka kurang berkemampuan yang terjejas teruk akibat wabak ini,” kata pesara berusia 71 tahun itu.

Bantuan yang telah diberikan oleh Uncle Tony dan Food4U adalah dalam bentuk makanan yang dimasak dan bahan makanan yang merangkumi keperluan asas seperti beras, minyak masak dan telur.

“Ia untuk memastikan mereka dan ahli keluarga mempunyai makanan untuk dimakan tanpa perlu keluar ke jalanan dan membahayakan diri mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Walaupun dia mengimpikan untuk membantu setiap rakyat Malaysia yang kelaparan di luar Lembah Klang namun, tangan Uncle Tony terikat akibat perintah kawalan pergerakan.

Sejak akhir-akhir ini, Food4U telah bekerjasama dengan organisasi amal lain untuk mendirikan stesen bank makanan di mana mereka yang memerlukan dapat memperoleh peruntukan yang diperlukan.

“Namun, konsep ini punya masalah tersendiri. Orang miskin yang tinggal di kampung tidak dapat menikmati faedah dari bank makanan ini.

“Ini kerana mereka tiada pengangkutan untuk turun ke bandar mengambil makanan,” jelas Uncle Tony.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Uncle Tony telah berinteraksi secara langsung dengan ketua kampung untuk mengenal pasti isi rumah mana yang memerlukan bantuan makanan.

Selain makanan yang dimasak, Uncle Tony mengedarkan bahan makanan dan keperluan lain kepada yang memerlukan secara berkala. (Gambar Moganraj Villavan)

“Sebahagian besar keluarga ini kehilangan pekerjaan dan tidak mampu menampung kehidupan mereka. Malah, mereka tidak ada wang untuk naik teksi atau bas pergi ke bandar dan mendapatkan makanan ini.”

Malangnya, di sebalik niat murni Uncle Tony, masih ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, mengambil kesempatan di atas kemurahan hatinya dengan mengambil bantuan buat insan yang lebih memerlukan.

Menurut Uncle Tony, ada laporan yang membabitkan individu ‘yang berkemampuan’ mengambil bantuan lebih daripada yang diperlukan, hingga tiada bahagian untuk diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Dalam satu kejadian yang cukup memalukan, sebuah kereta dengan sekumpulan individu dari keluarga yang sama dilihat tiba di bank makanan, dan secara bergilir-gilir mengambil dan mengumpulkan barangan keperluan untuk diri mereka sendiri.

“Ia sangat tidak bertanggungjawab kerana idea bank makanan adalah mengedarkan makanan supaya ia dapat dimanfaatkan oleh banyak keluarga dan penerima yang berbeza,” keluh Uncle Tony.

Tindakan tidak beretika dan mementingkan diri ini telah menafikan hak mereka yang benar-benar memerlukan bantuan makanan dari peruntukan yang mereka perlukan.

“Lebih-lebih lagi dengan motto Food4U adalah ‘untuk berkongsi dan menjaga’,” ujarnya.

Oleh itu, untuk mengelakkan masalah eksploitasi dari berulang, Uncle Tony kini bekerjasama secara langsung dengan ketua-ketua kampung yang sangat memahami komuniti mereka sendiri.

Menurut Uncle Tony, jumlah mereka yang memerlukan pertolongan semakin meningkat sepanjang penularan wabak tersebut. (Gambar Moganraj Villavan)

“Mereka akan mengenal pasti berapa banyak keluarga di kampung mereka dan kami akan bekerjasama untuk memberi makanan kepada mereka yang memerlukan.

“Tanpa ketua masyarakat ini, sangat sukar untuk mengetahui siapa sebenarnya yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.

Pendekatan yang lebih praktikal ini telah terbukti semasa lawatan baru-baru ini ke Kampung Sungai Machang di luar bandar Selangor, di mana 50 keluarga yang memerlukan dikenal pasti dan dibantu tanpa masalah.

Agak menyedihkan, Uncle Tony turut melihat peningkatan dalam angka mereka yang memerlukan bantuan makanan dengan jumlahnya meningkat setiap hari.

Biasanya, ketika berada di kawasan Central Market, Food4U membantu memberi makanan kepada sekitar 40 hingga 50 individu.

“Tetapi dalam lawatan baru-baru ini, jumlah itu meningkat kepada hampir 120 individu,” ujarnya.

Jumlah yang bertambah bermakna makanan yang disediakan tidak mencukupi untuk semua orang, sesuatu yang amat mengecewakan Uncle Tony.

“Wabak ini telah menimbulkan banyak tekanan dan penderitaan kepada masyarakat umum, terutama kelompok B40. Kebanyakan dari mereka sangat memerlukan pertolongan.

“Jumlahnya meningkat dari hari ke hari. Semakin ramai yang hidup di jalanan, mencari tempat berteduh, penjagaan dan bantuan,” katanya.

Walaupun berdepan banyak cabaran, Uncle Tony tidak akan membelakangkan mereka yang memerlukan pertolongan dalam waktu yang terdekat. (Gambar Moganraj Villavan)

Dengan berita yang menyedihkan itu, apa yang dapat kita lakukan sebagai anggota masyarakat dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk membantu Uncle Tony dalam usaha mulianya itu?

Untuk ini, Uncle Tony mengemukakan dua cara untuk orang ramai membantu Food4U; yang pertama dengan menjadi sukarelawan untuk membantu semasa sesi memberi makanan dan pengedaran, dan keduanya adalah sumbangan dalam bentuk peruntukan.

Buat masa ini, Food4U sedang mengedarkan makanan kepada mereka yang memerlukan di Kuala Lumpur, empat hari seminggu, iaitu pada Isnin, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Sumbangan makanan kering dan keperluan asas lain seperti beras, minyak masak, makanan dalam tin dan telur adalah sangat dialu-alukan.

Dengan tanggungjawab yang begitu berat, apa sebenarnya yang mendorong Uncle Tony untuk terus mengorak langkah tanpa mengenal erti kalah?

“Ada ramai insan di jalanan yang sangat memerlukan pertolongan. Kisah mereka kadang-kala hanya terzahir dari ekspresi dan bahasa tubuh mereka.

“Dan apabila terlihat riak wajah yang bermaksud, ‘terima kasih kerana datang membantu kami’, itu saja sudah cukup untuk menjadi motivasi cukup besar bagi siapa saja.

“Jika saya diberi satu doa untuk dimakbulkan, ia semestinya mendoakan keberkatan dari Tuhan buat semua insan, untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan dilimpahkan rezeki,” akhiri Uncle Tony.

Bantu memberi makanan kepada mereka yang kelaparan dengan menderma barangan keperluan ke pusat pengedaran Food4U atau hubungi Uncle Tony di talian 017-8812666 untuk maklumat lebih lanjut.

Food4U,
No 4, Jalan P 2/18
Seksyen 2
Bandar Teknologi Kajang
43000 Semenyih
Selangor

 -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.