`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 22, 2021

Polis tahan 6 lelaki, rampas syabu lebih RM3 juta

 

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis Pulau Pinang menahan enam lelaki dan merampas 107.5kg syabu bernilai RM3.87 juta yang cuba diseludup ke luar negara dalam serbuan di jeti pendaratan ikan Sungai Acheh, di Daerah Barat Daya, Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas, polis menyerbu jeti itu pada 2.30 petang, dan terdapat lima lelaki termasuk tiga warga asing di situ, dipercayai sedang bersiap sedia untuk menghantar bekalan dadah ke negara jiran.

“Pemeriksaan dalam sebuah bot di jeti itu menemui 100 bungkus dadah dalam bungkusan teh cina dan dipercayai semua 107.5kg syabu tersebut untuk dibawa ke luar negara iaitu negara jiran kerana pasaran (syabu) lebih mahal di sana.

“Semua dadah yang dirampas itu bernilai RM3.87 juta. Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Bukit Tambun, Jawi dekat sini dan menahan seorang lagi lelaki warga tempatan yang merupakan ahli sindiket tersebut,” katanya dipetik Bernama, pada sidang akhbar di George Town hari ini.

Katanya, enam lelaki yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 55 tahun dan berperanan menghantar bekalan dadah tersebut ke luar negara menggunakan jalan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mohd Shuhaily berkata siasatan juga mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak awal September dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka termasuk di luar negara.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut mengedar dadah di negara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang.

“Enam lelaki termasuk tiga warga asing itu bekerja sebagai buruh dan semua mereka negatif dadah. Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dengan menambah, semua dadah dirampas boleh digunakan oleh 537,500 penagih.

Beliau berkata polis turut menyita wang tunai RM1,000, dua kereta, dan dua motosikal yang kesemuanya bernilai RM17,800 daripada tiga lelaki tempatan terbabit. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.