`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, September 5, 2021

Tak gelap mata, pemandu ambulans pernah ditawarkan RM10,000 ‘seludup’ keluarga rentas negeri

 

Individu berkenaan cuba ‘mengajar’ pemandu ambulans itu meletakkan bantal besar di bahagian perut isterinya seolah-olah sarat mengandung bagi melepasi sekatan jalan raya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang sukarelawan Medic Iltizam Ambulans berkongsi pengalaman pernah ditawarkan bayaran RM10,000 bagi membawa satu keluarga merentas empat negeri untuk pulang ke kampung mereka di utara Semenanjung.

Fairuz Yahya, 50, yang menetap di Kampung Jawa, Segamat, berkata, beliau bagaimanapun enggan menggadaikan etika atau gelap mata walaupun ketika itu ambulans miliknya hampir tamat tempoh untuk pelupusan dan wang diperlukan untuk penggantian.

“Saya didatangi seorang lelaki berusia 40-an di rumah untuk khidmat ambulans membawa isteri dan tiga anaknya ke utara tanah air.

“Amanah selaku pengendali ambulans swasta selama lima tahun bersama abang, Faizal Yahya, 53, yang juga pemandu ambulans tetap diutamakan hanya untuk membawa pesakit,” kata bapa kepada tiga anak itu, memetik laporan Berita Harian.

Katanya, dia sendiri tidak mengetahui latar belakang lelaki berkenaan yang memakai topi keledar, selain penutup hidung dan mulut.

“Lelaki itu juga mengajar saya meletakkan bantal besar di bahagian perut isterinya seolah-olah kandungan sedang sarat bagi memudahkan ketika melalui sekatan jalan raya.

“Pada masa sama, lelaki itu sanggup menyewa pakaian seragam sukarelawan Medic Iltizam Ambulans sebanyak RM500 untuk dipakainya bertujuan penyamaran,” katanya.

Fairuz berkata, dia percaya nilai akhlak tinggi akan kekal dirahmati Allah SWT, selain tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit tidak berkemampuan.

“Sejak 2017 saya sudah memberikan khidmat kepada 700 pesakit di sekitar Segamat, Johor, Selangor, pantai timur dan utara tanah air.

“Walaupun kenderaan ini agak usang, namun ia adalah satu ‘anugerah’ bernilai bagi saya dan berharap dapat membantu orang ramai yang memerlukan,” katanya yang juga pesara tentera. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.