`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, August 17, 2024

Keyakinan senyap Ku Li

 

hishamuddin-aun

Ketika Tengku Razaleigh Hamzah pertama kali memenangi kerusi Parlimen Ulu Kelantan pada PRU 1974, Annuar Musa baru berusia 18 tahun — masih terlalu mentah untuk mengenali politik. Sebelum Annuar menyertai Umno pada 1979, Tengku Razaleigh atau Ku Li, putera raja dari Kelantan, sudah memegang jawatan penting sebagai menteri kewangan tiga tahun terdahulu.

Ia harus sesuatu yang menarik selepas sekian lama, Ku Li selaku pengarah PRK Nenggiri Barisan Nasional (BN) dan Annuar, pengarah operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Nenggiri, beradu percaturan dalam memenangkan calon masing-masing.

Berbanding PN yang meneruskan tradisi hingar-bingar dalam PRK menerusi ceramah umum setiap malam sejak 3 Ogos dan ceramah mega ‘grand finale’ malam tadi, BN memilih pendekatan yang sama-sekali berbeza dengan tidak menganjurkan ceramah umum, sebaliknya lebih tertumpu kepada kempen sasaran berkelompok pengundi yang lebih senyap.

Ku Li lebih percaya kunjungan dari rumah ke rumah untuk bertemu pengundi dan membuat janji secara bersemuka adalah strategi yang baik dengan mengambil kira kepelbagaian komposisi pengundi di kawasan itu. DUN Nenggiri terdiri daripada kira-kira 85% pengundi Melayu dengan selebihnya adalah masyarakat Orang Asli yang secara tradisinya pro-BN.

Di samping itu, banyak perkara yang timbul menyentuh isu rakyat tempatan berbanding isu nasional yang menjadi modal lawan. Pendekatan sedemikian memudahkan gerak kerja jentera BN menumpukan sepenuh perhatian terhadap soal berkenaan selain mampu memberi penjelasan terhadap sebarang persoalan dibangkitkan.

Malah, di luar kelaziman, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie tidak menghebahkan manifesto berbanding calon PN Rizwadi Ismail atau Ustaz Wadi yang melancarkan manifesto menggunakan akronim ‘Khidmat’ — mengandungi 12 tawaran untuk seluruh warga Nenggiri — pada Isnin.

Secara tidak langsung ia akan menjadi ujian getir buat BN yang mengambil pendekatan berani berkenaan — berbeza dengan pendekatan diamalkan kerajaan perpaduan pada PRK sebelum ini, dengan yang terakhir di PRK Sungai Bakap yang dimenangi PN pada 6 Julai lalu.

Manifesto calon BN satu sahaja. Awie akan berkhidmat kepada rakyat, apa sahaja kepentingan rakyat di sini wakil rakyat akan cuba terbaik, sekiranya diberi mandat akan cuba tangani. Kita hanya ada satu manifesto, wakil rakyat kita sekiranya diberi mandat oleh rakyat akan berkhidmat kepada rakyat Nenggiri, akan menyelami masalah rakyat Nenggiri,
 kata Pengarah Operasi Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Nenggiri Ahmad Jazlan Yaakub sebagai jawapan.

Reaksi penganalisis pula jelas berlawanan. Dalam pada Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) beranggapan manifesto mungkin beri kelebihan kepada PN, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan manifesto tidak lagi banyak mempengaruhi pengundi dalam PRK.

Apa pun, semua itu hanya boleh berlaku dengan keizinan Ku Li. Tiada ceramah umum, tiada manifesto, dan tidak perlu pun menyerang peribadi sebagai menyerlahkan keyakinan bekas Ahli Parlimen selama 12 penggal itu yang mengenali setiap ceruk di kawasan Parlimen Gua Musang.

Jika tidak yakin, Ku Li boleh sahaja menolak ketika diumumkan pelantikannya sebagai pengarah bagi PRK itu oleh Presiden Umno Zahid Hamidi pada 29 Jun lalu. Pada usia 87 tahun kini dan hanya mendambakan rehat, bekas Ahli Parlimen Ulu Kelantan selama tiga penggal dari 1974-1986 dan kemudian kerusi Gua Musang selama lapan penggal dari 1986-2022 atau 48 tahun — Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat — menerimanya sebagai cabaran.

Barangkali sudah sampai masa berehat (tapi) apakan daya ada PRK dan saya diberi tugas menjadi pengarah PRK Nenggiri. Walaupun lutut saya terketar-ketar, lawan tetap lawan,
 kata Ku Li yang semestinya tidak bersedia menerima tanggungjawab itu untuk kalah.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi Abu Naim (PN) menang kerusi itu dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Dibandingkan dengan Annuar yang berasakan dirinya orang tersohor (paling masyhur) hingga selipar, kasut, stoking yang dipakainya mencuri tumpuan sepanjang tempoh berkempen, Ku Li memilih untuk tidak menonjolkan diri.

Tular beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama Louis Vuitton (LV). Baju LV, jam LV, selipar pun LV. Ia ekoran Annuar pakai baju LV masa bagi maggie mee (mi segera) kepada pengundi Orang Asli,
 Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dipetik sebagai menyindir Annuar beberapa hari lalu.

Bagi Ku Li, PRK ini bukan berkisar mengenai dirinya kerana bukan beliau yang bertanding, sebaliknya lebih kepada menjulang Awie yang diyakininya dapat menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab dan dapat menjaga kebajikan penduduk.

“Awie ialah ketua Pemuda yang mendapat asuhan daripada bekas ADUN Nenggiri Ab Aziz Yusoff dan daripada kita semualah. Dia dah perhati apa yang sudah dibuat oleh kita. Saya harap dia membantu rakyat. Ambo tokse (tak mahu) membanding calon kita dengan calon orang lain. Kita nak cakap dari segi calon kita.

Dari segi asuhan tu ambo tengok dia sudah melalui proses pembelajaran dan melihat apa yang dituntut oleh rakyat. Kalau dia dipilih, saya berani berkata dia akan menjadi suara dan berkhidmat untuk rakyat. Setahu saya dia orang yang boleh diharap. Dia bukan saja ketua Pemuda Umno Gua Musang yang pegang jawatan sekian lama tetapi dinaikkan status kepada ketua Pemuda Umno negeri,
 katanya.

Malah, sebagai orang lama, Ku Li harus dapat melihat bayangan jelas sesebuah parti itu terdesak apabila pemimpinnya merapu-rapu di pentas ceramah. Presiden PAS Hadi Awang dalam ceramah ‘grand finale’ di Jerek malam tadi menyifatkan Umno sebagai parti ‘nyanyuk’ hingga mereka yang tinggal dalam parti itu didakwanya menghidap sakit tua.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula berkata Ustaz Wadi perlu menang PRK Nenggiri sebagai isyarat kepada pentadbiran Anwar Ibrahim bahawa rakyat kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Lantaran itu, dakwanya, rakyat mengharapkan PN segera mengambil alih Putrajaya.

Malah, Muhyiddin — perdana menteri kelapan selama 17 bulan dari 1 Mac 2020-16 Ogos 2021 — didakwa sebagai ‘bermimpi’ apabila membangkitkan isu basi dengan mendakwa beliau sepatutnya menjadi perdana menteri ke-10 bukannya Anwar dengan andaian Yang di-Pertuan Agong silap ketika itu kerana tidak memanggilnya mengangkat sumpah.

Di sebalik semua itu Ku Li tidak langsung melatah, sebaliknya menyerahkan kepada pengundi memilih calon disukai — siapa pun jua — asalkan wakil dipilih mampu membawa perubahan di DUN berkenaan.

Laporan diterima menunjukkan jentera BN tidak berdepan sebarang ‘masalah besar’ sepanjang kempen. Ini menandakan bahawa mereka (jentera) sudah melakukan pekerjaan dengan baik, malah ini memberikan harapan yang positif kepada parti,
 katanya sebagai meyakini Awie yang lebih berhak. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.