`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 16, 2024

Tingkat MyJalan dengan pemantauan masa nyata jalan rosak, cadang pakar

 

Free Malaysia Today
Lebih 4,000 aduan di bawah jalan seliaan Jabatan Kerja Raya telah diselesaikan oleh pihak terbabit. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Pakar dan NGO mencadangkan aplikasi MyJalan KKR bagi memudahkan pengguna melaporkan kerosakan jalan raya ditingkatkan fungsinya termasuk menerapkan elemen kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) Law Teik Hua berkata inisiatif diperkenalkan Kementerian Kerja Raya (KKR) setakat ini dilihat menggalakkan pengguna menyalurkan maklumat berkaitan apabila merekodkan 17,157 aduan sejak 1 Ogos tahun lalu hingga 29 Jul.

Menurutnya, aduan itu membantu pelbagai agensi kerajaan dan bukan hanya KKR untuk membaiki jalan rosak seperti berlubang di bawah seliaan masing-masing sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna.

“Galakkan MYJalan KKR ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan fungsinya dengan melakukan tambah baik supaya dapat selesaikan lebih banyak masalah jalan rosak.

Kena perincikan maklumat (dari kawasan mana) supaya orang ramai yakin untuk salur maklumat, contohnya jika di Kedah aduan sangat berkurangan… KKR kena cari jalan dan beri persepsi lebih banyak aduan maka mereka akan nikmati kualiti jalan raya baik,
 katanya kepada FMT.

Law berkata aplikasi MyJalan KKR juga membantu memperkasa peranan pengguna berkongsi maklumat kerosakan jalan di hujung hari, yang membolehkan tindakan segera diambil.

Kalau 10 tahun lalu memang banyak jalan berlubang namun kita lihat dengan adanya aplikasi ini isu jalan berlubang sekarang berkurangan,
 katanya sambil menambah, kualiti jalan yang baik juga mampu menurunkan kadar kemalangan khususnya di kalangan penunggang motosikal.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan Mohd Hisham Shafie berkata pihaknya mengiktiraf keberkesanan kempen KKR sejak setahun lalu melalui aplikasi MyJalan.

Jelasnya, lebih 17,000 aduan diterima menunjukkan perkembangan positif meningkatkan kesedaran pengguna supaya lebih peka memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jalan raya.

Namun menurutnya, sistem aduan itu boleh ditambah baik seperti memperkenalkan sistem pemantauan masa nyata untuk mengesan kerosakan jalan melalui teknologi IoT dan AI.

“Ini dapat membantu agensi mengambil tindakan proaktif sebelum aduan diterima.

Selain itu, galakkan lebih banyak program kesedaran dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan NGO untuk menyampaikan maklumat mengenai saluran aduan ini ke peringkat akar umbi,
 katanya.

Beliau turut mencadangkan pengenalan pelbagai platform seperti aplikasi mudah alih mesra pengguna, integrasi dengan media sosial, atau sistem pesanan ringkas (SMS) bagi pengguna kurang akses kepada teknologi canggih.

Pengguna perlu diberikan maklum balas berkala mengenai status aduan mereka,
 katanya.

Berdasarkan maklumat KKR, sebanyak 5,178 daripada 17,157 aduan menerusi MyJalan KKR membabitkan jalan raya seliaannya, dengan 4,772 atau hampir 93% aduan telah diselesaikan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, 11,979 aduan (69.82%) disalur kepada pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, pejabat tanah dan galian dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Sebuah jawatankuasa bertindak disertai KKR, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diwujudkan bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.