`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 4, 2024

Bila Ultras dah naik muak

 

hishamuddin-aun

Harimau Malaya tunjuk peningkatan dahulu untuk penyokong datang atau penyokong yang perlu berbondong-bondong ke stadium untuk dorong skuad kebangsaan meningkat? Yang mana pun harus didahulukan, tindakan terbaharu Ultras Malaya untuk memboikot Pestabola Merdeka bermula malam ini, adalah berita tidak baik buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Penyokong selaku antara kekuatan pasukan Harimau Malaya yang sentiasa ditagih kehadiran mereka nampaknya sudah muak dengan FAM dan enggan terus diperkotak-katikkan. Mungkin mereka berasa dipergunakan semata-mata.

Apa yang mendorong tindakan Ultras ini? Ultras Malaya disertai oleh Ultras dari Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur sebelum ini meluahkan menerusi media sosial rasa tidak puas hati mereka terhadap FAM.

Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat. Kosongkan stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka! #ResetBolasepakMalaysia,
 kata satu ciapan UM’07 di laman X awal bulan ini.

Ultras Panthers menambah isu peletakan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon, surat layang, dan tiada empati atas kejadian yang menimpa pemain kebangsaan terutama kes Faisal Halim yang menjadi mangsa serangan simbahan asid di Kota Damansara 5 Mei lalu antara faktor mereka membuat keputusan itu.

Selepas hampir tiga bulan tidak diturunkan, Faisal disenaraikan Selangor FC dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA pada 3 Ogos tetapi tidak bermain dan masuk sebagai pemain gantian ketika mengalahkan Kelantan Darul Naim 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ seminggu selepas itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Shuhaily Mohd Zain berkata pada 9 Julai lalu risikan berterusan pihak polis masih lagi berjalan. Meskipun tiada perkembangan terbaru dapat dikongsi, tambahnya, ia tidak bermakna polis berhenti membuat siasatan.

Ultras Kuala Lumpur pula menyatakan bantahan terhadap beberapa perkara melibatkan badan induk bola sepak negara sebagai alasannya menyertai boikot berkenaan.

Berbalik kepada soalan awal tadi mengenai mana yang perlu didahulukan, penghargaan sebenarnya perlu dirakamkan terhadap Ultras kerana mereka sentiasa berdiri kukuh di belakang Harimau Malaya selama ini.

Ambil contoh ketika Harimau Malaya turun untuk melakukan perhitungan dengan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 11 Jun lalu.

Di sebalik tugas hampir mustahil untuk skuad kebangsaan memenuhi tuntutan mendapatkan tujuh gol tanpa balas ke atas Taiwan bagi memburu tiket ke pusingan ketiga, Ultras tetap memenuhi curva mereka di SNBJ untuk dikecewakan oleh Harimau Malaya yang hanya mampu meraih kemenangan 3-1.

Kesudahannya, jaya atau gagalnya matlamat tujuh gol itu tidak bermakna apabila Kyrgyzstan dapat memintas Malaysia daripada pungutan mata dengan mengikat Oman 1-1 di Muscat yang sepak mulanya sejam selepas berakhirnya pertemuan Malaysia-Taiwan itu.

Ketua jurulatih Taiwan, Gary White, menyandarkan kekalahan 1-3 pasukannya kepada Ultras Malaya dan ekor Harimau Malaya yang dikatakannya mencetuskan atmosfera menakjubkan di sebalik bilangan mereka kurang daripada 15,000 orang.

Penyokong anda sangat menakjubkan dan anda patut berbangga dengan mereka,
 kata White pada sidang media selepas perlawanan.

Kini, dengan Ultras sudah mengumumkan boikotnya lebih awal, langkah itu dijangka dituruti oleh penyokong selebihnya atau dikenali sebagai ‘ekor Harimau Malaya’ berdasarkan kurang 1,000 tiket yang sudah terjual sehingga Ahad lalu.

Apalah maknanya Pestabola Merdeka — yang telah lama hilang serinya berbanding saingan lapan hingga 12 pasukan pada masa lalu dengan reputasi kejohanan tertua di Asia — jika tiada suasana pesta di SNBJ dengan penyokong memilih untuk menjauhkan diri?

Lagipun, pesta bola edisi ke-43 ini yang disertai tiga pasukan undangan — Filipina (147 dunia), Tajikistan (102 dunia), dan Lebanon (117 dunia) — sekadar menawarkan peluang buat Malaysia (135 dunia) memperbaiki ranking di samping memenuhi kalendar antarabangsa FIFA buat pasukan kebangsaan.

Harus ramai juga yang tersentuh hati dengan rayuan Faisal yang sebak tidak dapat mewakili negara kali ini kerana baru pulih daripada kesan melecur di sebahagian tubuh dan mukanya, merayu agar Ultras Malaya membatalkan keputusan memboikot Pestabola Merdeka.

Skuad kebangsaan perlukan sokongan kerana banyak berlaku kebelakangan ini termasuk apabila Pan-gon tinggalkan kita. Namun, kita perlu sokong jurulatih baharu, Pau Marti (Vicente),
 katanya.

Dalam pada itu, pemain tengah kebangsaan Syamer Kutty Abba menghormati pendirian penyokong untuk memboikot tetapi berharap mereka akan tetap menyokong tanpa mengira di mana mereka berada.

Kami akan mencuba untuk memberikan sesuatu untuk penyokong kembali percaya dan datang ke stadium. Apabila kami memenangi perlawanan pertama, mungkin mereka boleh datang dalam perlawanan kedua untuk menunjukkan yang kita melalui segalanya bersama-sama,
 katanya dalam sidang media semalam.

Menggelar tindakan boikot itu sebagai isyarat ‘tsunami’ kepada FAM untuk memperbaiki sebarang kelemahan, penganalisis sukan Pekan Ramli berkata peminat sudah muak dengan segala drama dan masalah dalam FAM yang masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Peminat memboikot sebenarnya lebih kepada nak memberikan amaran atau satu isyarat kepada FAM. Ia bukan hanya kerana isu Pan-gon tetapi isu secara menyeluruh dengan pelbagai rentetan masalah terutama kegagalan skuad kebangsaan kita,
 katanya.

Hamidin dalam sidang medianya Khamis lalu menuduh jurulatih dari Korea Selatan itu tidak profesional dengan memberi pelbagai alasan untuk menamatkan kontraknya dengan Harimau Malaya lebih awal 16 Julai lalu sedangkan dia sudah mencapai persetujuan sebagai jurulatih baharu kelab Korea, Ulsan Hyundai.

Soalan yang patut ditanya ialah mengapa Hamidin terlalu mudah melepaskan Pan-gon sedangkan FAM boleh menuntut untuk dia menghormati kontraknya sehingga akhir tahun depan atau membayar pampasan untuk menebus baki kontrak.

Sebaliknya, presiden FAM itu cuba berselindung di sebalik alasan FAM menjadi mangsa hanya kerana Pan-gon mendapat tawaran yang lebih baik dan memilih untuk meninggalkan Malaysia dengan alasan yang tidak betul.

Tidak mungkin Hamidin lupa pengumuman Pan-gon selepas perlawanan Malaysia-Taiwan, Jun lalu mengenai hasratnya untuk terus kekal membimbing pasukan negara selepas berakhirnya kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Jika Hamidin — terpilih antara tujuh Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA mewakili Asia untuk penggal 2023-2027 — boleh ‘diperdayakan’ Pan-gon, kita boleh bayangkan kekecewaan Ultras Malaya.

Jadi, boleh disimpulkan pada kaca mata Ultras, masalahnya berpusat di FAM sendiri.

Apakah FAM mahu ambil langkah memperbaiki keadaan? Apakah Hamidin sedia mengetepikan protokol — beliau memakai lencana FIFA — untuk berunding dengan Ultras seperti disaran sesetengah pihak?

Barangkali Hamidin sedia mempertimbangkan saranan Ultras tapi belum sedia bersemuka kerana bimbang akan dituntut supaya berundur menjelang Kongres Tahunan FAM ke-61 tahun depan.

Memulangkan kata-katanya, disebabkan kelemahan FAM, Harimau Malaya jadi mangsa bermain di stadium sepi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.