`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 22, 2024

Siasatan kes Faisal Halim kian dilupakan

 

hishamuddin-aun

Tumpuan kamera televisyen kepada Faisal Halim di tempat duduk pemain simpanan ketika siaran langsung perlawanan Selangor FC-Kuching City FC di Kelana Jaya pada 13 Sept lalu jelas menunjukkan parut di kiri mukanya. Kemudian apabila dia masuk selaku pemain gantian dalam 10 minit terakhir, topeng perlindungan muka terpaksa diguna.

Kedua-duanya – parut dan topeng berkenaan – terus memberi ingatan kepada kita semua betapa penganiayaan ke atasnya masih tidak terbela.

Tiada sesiapa juga harus berasakan kembalinya pemain berusia 26 tahun ini ke padang selepas satu kejadian yang boleh meragut nyawa atau menamatkan kerjaya bola sepaknya sebagai suatu bentuk kemaafan terhadap jenayah ke atasnya.

Awalnya semua orang bercakap mengenainya. Derita penyerang kebangsaan berjersi nombor 7 ini yang melecur tahap empat gara-gara disimbah asid oleh dua lelaki tidak dikenali pada 5 Mei, mendapat simpati ramai tanpa membeza-bezakan darjat, warna kulit mahupun anutan.

Malah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menyatakan simpati ke atas Faisal turut mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan rapi sambil memahami keresahan peminat.

Saya hendak tahu mengapa sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera,
 katanya sambil menambah Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain telah dipanggil beliau berhubung perkara tersebut.

Saya minta disegerakan (siasatan). Saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini. Tetapi saya kata cari jalan siasat dengan rapi,
 katanya.

Pendek kata semuanya marah dengan kejadian di pekarangan sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara itu yang mengakibatkan Faisal terlantar di unit rawatan rapi sebuah hospital swasta di Shah Alam selama kira-kira 10 hari dan menjalani satu siri pembedahan.

Semuanya juga mahukan keadilan dengan menuntut polis segera membuat tangkapan agar pelakunya dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun, dengan Faisal sudah kembali beraksi di atas padang, tiada siapa lagi yang sebelumnya ‘berjuang’ bagi pihaknya yang meneruskan kesungguhan serupa hingga seorang pegawai kanan yang memberi kemas kini harian mengenai perkembangannya turut hilang daripada liputan media.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Shahril Mokhtar yang kali terakhir tampil menemani Faisal dalam sidang media pada 14 Jun lalu – penampilan pertama pemain itu di khalayak ramai selepas insiden disimbah asid itu – tidak lagi melaporkan sebarang perkembangan.

Daripada sebelumnya ramai individu dan pihak-pihak yang bersolidariti dengan Faisal, hari ini tiada lagi yang bercakap mengenainya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga hanya berdiam diri.

Perbandingan mudah akan menunjukkan pemandu e-panggilan OKU, Ong Ing Keon, yang ditumbuk polis pengiring orang kenamaan di hadapan sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lebih bertuah kerana terus mendapat pembelaan di sebalik siasatan kesnya juga dilihat seperti diheret-heret tanpa sebarang penyelesaian.

Tidak seperti Faisal yang menyaksikan ramai kini lepas tangan, Ong terus mendapat pembelaan Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn), Lawyers for Liberty (LFL) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang semalam menyatakan kebimbangannya kerana masih tiada tindakan selepas empat bulan.

Pada 5 Julai lalu, sidang DUN Selangor sebulat suara meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan yang mengancam nyawa serta kerjaya atlet terutama pemain bola sepak.

Usul dikemukakan Adun Seri Serdang Abbas Salimmi Che Adzmi itu antara lain mendesak siasatan menyeluruh ke atas kes simbah asid melibatkan Faisal. Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi ketika menggulung perbahasan berkata usul berkenaan adalah cerminan kesepakatan dan solidariti seluruh Adun Selangor yang membantah sekeras-kerasnya serta menolak sebarang unsur keganasan membabitkan arena sukan negara.

Susulan usul itu, DUN Selangor dilaporkan pada 11 Julai akan menghantar surat kepada polis meminta siasatan menyeluruh dan segera. Namun, tiada apa lagi didengar selepas itu.

Dalam pada itu, PDRM seakan-akan mahu meredakan keresahan ramai dengan menyatakan polis tidak memberhentikan siasatan di samping menegaskan pelaku tidak akan terlepas daripada mendapatkan pengadilan.

Belum ada perkembangan terbaru tetapi saya hendak tekankan bahawa tiada perkembangan bukan bermaksud kita berhenti menyiasat kes ini. Dengan segala komitmen yang dilakukan pegawai saya, kita tidak pernah berhenti mencuba. Perkembangan mungkin tidak seperti mana yang kita harapkan, buat masa ini kita bergantung kepada risikan,
 kata Shuhaily.

“Apabila merisik ini, kami berurusan dengan sisi gelap pelaku. Orang yang melakukan sedemikian (simbah asid) adalah mereka yang berada dalam satu kelompok manusia yang berada dalam dunia hitam…gelap.

Kegelapan (pelaku) sentiasa takut akan ‘cahaya’. Jadi jika saya terus mengemas kini (hasil risikan), bermakna saya sedang menghidupkan ‘cahaya’ itu, kemudian mereka akan menjadi semakin ‘gelap dan gelap’ (menjadi-jadi),
 tambahnya pada sidang media bersama PDRM dan Singapore Police Force (SPF) di Johor Bahru, 9 Julai lalu.

Seperti sudah menjadi kelaziman, orang ramai dinasihatkannya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. Ini di sebalik hakikat bahawa spekulasi akan terus dibuat selagi tiada sebarang maklumat atau penamat terhadap siasatan yang dijalankan.

Sambil itu Faisal sendiri mengakui masih memerlukan masa untuk mencapai prestasi maksimum meskipun telah kembali beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dalam perlawanan Piala Sultan Selangor 2024 (TSSC) pada 18 Ogos lalu.

Mungkin keadilan bagi Faisal ialah kembalinya dia nanti sebagai pemain lebih baik sama ada bersama Selangor FC mahupun Harimau Malaya dengan menunjukkan kepada individu yang menyerangnya bahawa mukanya mungkin berparut sepanjang hayat tetapi semangat dan kesungguhannya tidak mampu dilenyapkan asid sulfurik yang mampu mencedera dan melumpuhkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.