`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 8, 2024

Alamat melopong lagilah

 

hishamuddin-aun

Tidak terima peruntukan bukan kiamat dalam politik kami,
 kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. 
Malah, ia akan membantu kami dapat lebih sokongan dalam PRU16,
 tambahnya mengenai keputusan sebulat suara Perikatan Nasional (PN) menolak draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkait peruntukan kepada wakil rakyat.

Tak ada, tak apalah. Ahli Parlimen kita (pembangkang) berlapang dada. Tidak apa anda tidak berikan kepada kami, kami boleh teruskan berjuang untuk rakyat, kita akan tolong buat apa yang kita termampu buat,
 kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula.

Dengan mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-15 akan bermula pada Isnin dengan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 menyusul empat hari kemudian, ia akan menarik untuk diikuti jika pembangkang cuba menimbulkan isu itu.

Kedua-dua rumusan di atas boleh dimengertikan sebagai pembangkang menyalahkan kerajaan yang didakwa mereka mengada-adakan MoU yang bertentangan Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa draf itu mengandungi syarat-syarat yang bertentangan dengan nilai budaya dan agama, tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas, dan mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Malah, lebih buruk lagi Muhyiddin mengandaikan ‘identiti yang lain’ seperti syarat ke-10 dalam MoU itu membawa elemen bertentangan nilai moral serta agama yang dirujukkannya kepada lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Macam mana boleh sampai ke situ mungkin hanya beliau yang tahu tapi ia jelas bertentangan dengan semangat asal pengwujudan MoU itu yang membuka seluas-luas ruang untuk rundingan di antara kedua-dua pihak sebelum persetujuan boleh dimuktamadkan.

Pada 24 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang — suatu isu yang berlarutan hingga menimbulkan perdebatan hangat dalam sidang Dewan Rakyat sejak selepas PRU15.

Ketika mengumumkannya Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya. Maknanya ia bukan bersifat paksaan ‘take it or leave it’, sebaliknya terbuka kepada cadangan balas pihak pembangkang.

Tak tahulah di mana yang ia tidak difahami tapi reaksi pertama Muhyiddin ketika itu ialah PN berpendirian kerajaan perpaduan tidak sepatutnya mewujudkan MoU jika benar-benar ikhlas untuk menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Muhyiddin turut membuat perbandingan dengan ketika beliau menjadi perdana menteri menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang tanpa sebarang MoU, perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) atau apa-apa perjanjian lain sewaktu pandemik Covid-19.

Apa yang barangkali presiden Bersatu itu lupa ialah beliau dan partinya bukan lagi kerajaan dan lantaran itu perlulah akur dengan tuntutan kerajaan perpaduan yang mempunyai sebab-sebabnya sendiri untuk berbuat demikian.

Ringkasnya penolakan PN terhadap persetujuan bersyarat bagi mendapatkan peruntukan berkenaan bukan pun sesuatu yang baru, sebaliknya ia lanjutan kepada pendirian gabungan itu dari awal lagi. Kalau nak beri, beri sajalah tanpa apa-apa syarat yang mengikat, begitulah pendirian mereka.

Menyanggah teguran Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari bahawa PN sepatutnya mencadangkan MoU alternatif dan bukannya mengkritik versi dicadangkan kerajaan, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee pada 18 Sept menyorot kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji memberi peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang.

Dengan mengenakan syarat-syarat luar biasa, tambahnya, ia menunjukkan kerajaan tidak berniat memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam pada itu, terlihat wujud percanggahan apabila Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan meminta kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan MoU peruntukan pembangkang secara bersama.

Menyambut baik pendirian itu, Fadillah yang juga ketua whip kerajaan perpaduan berkata pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU itu.

Tapi sebarang kompromi ditolak mentah-mentah oleh Muhyiddin yang bertegas bahawa mereka tetap dengan keputusan menolak MoU peruntukan berkenaan — disifatkannya bertentangan dengan Perlembagaan dan sifat murni rakyat Malaysia — dan tidak akan mengemukakan sebarang cadangan baharu.

Ketika tampil mendedahkan dua draf sebenar MoU itu pada 16 Sept bagi menyangkal kesemua dakwaan pembangkang, Fadillah menjelaskan niat kerajaan Madani adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.

Dengan penolakan PN, tambahnya, kerajaan tidak berhasrat untuk berbincang lanjut termasuk meminda draf MoU yang sudah diserahkan kepada pembangkang 20 Ogos lalu, sebaliknya peruntukan di bawah kerajaan masih tetap berjalan, cuma tugas wakil rakyat hanya mencadangkan projek dan apa jenis bantuan yang perlu diberikan.

Tiada satu tempat pun dikecualikan, semua mendapat manfaat sama ada ada MoU ataupun tidak. Kerajaan tetap tidak meminggirkan mana-mana pihak tidak kira kerajaan ataupun pembangkang sebab kerajaan Madani ini konsepnya inklusif, ihsan dan kesaksamaan. Rakyat tetap dapat manfaat,
 katanya di Johor Bahru pada 21 Sept.

Jawapan paling lantang diberikan Anwar — sebelumnya pada 9 Julai berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan — selepas dikritik pembangkang: “Dia (pembangkang) cakap peruntukan Ahli Parlimen, bagi wang pada kamu… kami adil. Bagi wang pada rakyat, kami zalim.

Apa saya peduli projek kepada Ahli Parlimen. Saya peduli projek kepada rakyat,
 katanya ketika berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Hujah Wan Fayhsal awal tadi bahawa ketiadaan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan membantu mereka dapat lebih sokongan dalam PRU16 hanya satu andaian di peringkat ini. Apa yang pasti, pendirian PN bermakna wakil rakyatnya terus melopong lagi.

Sebaliknya, apa yang boleh dipercayai ialah pandangan felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan bahawa PN mungkin keberatan menandatangani MoU yang dikemukakan kerana mereka masih menaruh harapan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Untuk PN menunggu tiga setengah tahun terlampau lama bagi mereka dan mereka sanggup untuk tidak dapat peruntukan,
 katanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.