`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 7, 2024

Mais sudah mula pulih akidah 261 kanak-kanak GISBH

 

rumah amal
Modul dibangunkan Mais, Jais dan Pitas adalah antara pelan tindakan membantu memulihkan kanak-kanak GISBH yang bermula sejak 23 Sept lepas, kata Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof. (Gambar PDRM)

SHAH ALAM
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah memulakan proses pemulihan akidah terhadap 261 kanak-kanak ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak 1 Okt lepas, menggunakan modul khas yang dibangunkan oleh majlis agama itu.

Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, modul yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) itu adalah antara pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kanak-kanak GISBH yang bermula sejak 23 Sept lepas.

Sehingga kini, seramai 20 orang guru Al-Riqab Mais terlibat mengajar di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan 261 kanak-kanak itu,
 katanya dalam kenyataan.

“Selain itu, melalui agensi Mais, iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan, kita turut menyalurkan keperluan asas termasuk keperluan asas ibadah solat untuk kanak-kanak ini.

Pada masa sama, katanya, MAIS juga mempunyai pusat pemulihan, iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Menurut Abdul Aziz, kedua-dua pusat ini berperanan menguruskan perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak.

Oleh itu, Mais sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH sama ada kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah bagi proses pemulihan,
 katanya menambah, Mais mempunyai 26 rumah pemulihan Al-Riqab untuk membantu pemulihan ahli GISBH dengan modul yang sama.

Menyentuh tentang perancangan jangka panjang, Abdul Aziz berkata, mereka yang telah mengikuti proses pemulihan boleh menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sama ada untuk tujuan pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan mahupun ekonomi, bergantung kepada syarat tertentu.

Selain itu, katanya, bagi memastikan mereka yang di luar sana terus dibimbing dan tidak terjebak dengan ajaran ini, usaha dakwah dan kesedaran menerusi Bahagian Dakwah Jais terus digiatkan

Tambahnya, beberapa Jawatankuasa Mais sedia ada seperti Jawatankuasa Bertindak Ancaman Akidah; Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita; Jawatankuasa Dakwah; Jawatankuasa Pengawalan Akidah; dan Jawatankuasa Riqab turut memainkan peranan masing-masing bagi memperkasakan usaha membanteras ajaran sesat dan usaha dakwah.

Beliau berkata, pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Mais, Jais, Jabatan Mufti Negeri Selangor, JKM, polis dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.