`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 31, 2024

Happy Deepavali lagi, YB Rayer

 

hishamuddin-aun

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sudah beberapa kali menyengajakan tersasul menyebut “lotong” dan “Jelotong” apabila merujuk kepada Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer, dalam sidang Dewan Rakyat.

Menyengajakan kerana tidak mungkin bakal timbalan presiden Bersatu itu tidak boleh membezakan di antara kedua-duanya. ‘Lotong’ seperti yang beliau kononnya tersasul itu sebenarnya bermaksud monyet berekor panjang. Jika benar ia dimaksudkannya kepada seorang Ahli Parlimen lain, maka perbuatannya dianggap ‘tidak berparlimen’.

Atau barangkali juga ia membayangkan apa yang selalu dirasakan pembangkang terhadap Rayer — umpama pepatah Inggeris “a monkey on my back (seekor monyet yang memanjat di belakang saya)” — yang bermaksud sesuatu masalah yang membuat seseorang tidak gembira dan berlanjutan untuk satu tempoh panjang.

Dalam konteks itu, Rayer — seorang wakil rakyat berusia 53 tahun yang berkhidmat dua penggal selaku Adun Seri Delima, Pulau Pinang dari 2008-2018 dan Ahli Parlimen Jelutong bagi penggal kedua sejak 2018 — telah melaksanakan peranannya dengan amat berkesan.

Ambil contoh ketika sidang Dewan Rakyat kecoh apabila Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan isu kewujudan adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ke atas Najib Razak ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 pada 24 Okt lalu.

Dari detik Takiyuddin bertanyakan soal itu, Rayer terpacak berdiri dengan merujuk kepada peruntukan 38 (8) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa ahli Dewan tidak boleh membahaskan mengenai kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong.

“Kota Bharu banyak kali merujuk kepada sifat dan kelakuan Yang di-Pertuan Agong. Tolong tarik balik. Jangan pertikaikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas Takiyuddin mengulangi beberapa kali persoalan sama ada titah adendum itu — seperti pernah disebut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan diulangi Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail — benar-benar wujud.

Hamzah (PN-Larut) turut bangun mempertahankan Takiyuddin: “Itu bukan menuduh Agong tapi itu yang dikatakan. Adakah ini salah? Ini adalah untuk beri penjelasan kepada semua termasuk Jelutong supaya Jelutong boleh bangun,” katanya.

Apabila Awang Hashim (PN-Pendang) mencelah, “Ini lawyer tak faham ni,” Rayer yang berkelulusan undang-undang dari University of London dan memiliki firma guaman R Nethaji Rayer & Co di Georgetown, Pulau Pinang membentak balik, “Apa tak faham? Kamu yang tak faham.”

Shahidan Kassim (PN-Arau) turut terkedu dalam pencelahannya. “Dia ingat Parlimen ni dia punya seorang ka, boleh gaduh-gaduh macam tu,” yang tegas dijawab Rayer, “Ada undang-undang la, ikut (peraturan) Parlimen!”

Timbalan Speaker Alice Lau bagaimanapun meminta supaya perkara itu tidak dibahas dan membiarkan untuk menteri berkaitan menjawabnya kemudian — satu petua yang menunjukkannya bersetuju dengan Rayer dalam tafsirannya mengenai perkara 38(8) itu.

Di luar Dewan, bagaimanapun, ada yang menggambarkan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu sebagai pengacau, berkelakuan tidak terpuji dan sering menyalahguna dan memperkudakan Perkara 36 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat walhal tujuannya hanya untuk menghalang Ahli Parlimen daripada menimbulkan sangkaan tidak baik, mengelirukan Dewan serta mahukan peraturan dipatuhi.

Kerap juga Rayer mempertahankan bahawa beliau jarang dikenakan amaran oleh Speaker — sebagai bukti perkara berkaitan peraturan dibangkitkannya adalah berasas — dibandingkan dengan Awang yang pernah diusir keluar dari persidangan selama tiga hari.

“Kita semua tahu perangai Jelutong ini, memang cukup suka mengganggu hujahan dan perbahasan Ahli-ahli Parlimen pembangkang (menggunakan) Perkara 36(6), 36(7) dan 36(8), apa-apa saja peraturan Dewan selagi beliau boleh ucapkan, beliau akan ucapkan,” kata satu video Papa Berry.

“Jadi benda inilah yang menyebabkan kualiti perbahasan di Parlimen sangat ‘suspect’ dan jadi bahan lawak serta bahan cemuhan oleh rakyat kerana ada Ahli Parlimen yang tak boleh pakai, yang memang langsung tak berguna seperti RSN Rayer ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Papa Berry yang kecondongannya ialah kepada pembangkang turut akur: “Tapi kita faham Rayer ni MP kerajaan dan beliau mungkin telah ditugaskan untuk sedaya-upaya cuba cari jalan mengganggu hujahan dan perbahasan oleh pembangkang.”

Sindiran seperti itu tentunya tidak menjadi ‘kudis’ kepada Rayer yang pernah berhadapan kutukan lebih teruk daripada itu — termasuk seorang rasis dan anti-Islam — tapi tidak pernah memesongkannya daripada rasa tanggungjawab untuk bangun menegur apabila ada hujah yang dirasakannya menyimpang daripada peraturan.

Ambil satu lagi contoh apabila beliau menuduh ucapan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor di Dewan Rakyat pada Selasa sebagai mengelirukan apabila mengaitkan isu mengibar bendera negara China yang berlaku di Teluk Intan baru-baru ini.

Rayer menafsirkan ucapan Wan Razali berkaitan kewarganegaraan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 itu sebagai memberi persepsi seolah-olah warganegara Malaysia berbangsa Cina yang mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan itu walhal ia dilakukan pelawat dari China.

“Daripada laporan kita terima, semua bendera itu dikibarkan oleh rakyat China yang berada di majlis itu. Ini satu tindakan yang mengelirukan Dewan (Rakyat) dan mengapikan sentimen perkauman,” kata Rayer yang meminta Wan Razali menarik balik kenyataannya.

Alice, yang berpuas hati Wan Razali tidak menyebut mana-mana negara, berjaya mententeramkan keadaan dan meminta Rayer menyemak hansard dan menghantar usul sekiranya perlu.

Juga bukan setiap kali Ahli Parlimen Jelutong itu berbalah dan tidak bersetuju dengan pembangkang seperti ditunjukkannya ketika bersependapat dengan Takiyuddin supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma tidak digunakan terhadap 22 ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Namun, tindakannya itu seperti menepuk air di dulang apabila Takiyuddin — yang cakapnya berdegar-degar tidak mahu ahli GISBH dianiayai dan tindakan hendaklah cermat dan teliti — menyoalnya kembali apa tindakannya untuk menentang Sosma yang dianggap undang-undang zalim.

Di sinilah Rayer berbeza dengan tidak hanya bercakap tetapi disusuli tindakan.

“Kalau boleh pada masa sekarang saya menawarkan perkhidmatan saya untuk mereka (GISHB). Kalau diperlukan saya sedia memberikan khidmat (guaman) percuma untuk membela mereka,” jawabnya.

Itu sudah memadai untuk menidakkan dirinya sebagai seorang rasis, jauh sekali untuk menggambarkannya sebagai anti-Islam.

Kalau pun tidak menerima kad ucapan daripada Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor seperti tahun lalu untuk sambutan tahun ini, Selamat Hari Deepavali diucapkan kepada YB RSN Rayer dan semua pembaca yang menyambutnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.