`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 31, 2024

Akmal bin Songeh sambut Diwali

 

faisal tehrani

Akmal bin Songeh, asal Melaka; buat pertama kalinya akan menyambut Diwali. Isteri kedua Akmal, Arti memeluk agama Islam. Pun, keluarga mertua Akmal, seorang doktor di Hospital Jasin adalah beragama Hindu, dan mereka menyambut Diwali.

Mula-mula memang Akmal gementar memikirkan dia akan menempuh satu kepercayaan dan tradisi yang tidak pernah dimesrainya.

Keluarga besar Arti adalah dari migran India yang berhijrah ke Malaya ketika era penjajahan British. Menjelang kemerdekaan pada 1957, terdapat lebih 820,000 orang India di negara ini.

Pekerja ladang dan buruh India ini ditugaskan di kebun lada hitam dalam tahun-tahun 1820an, mengerjakan ladang tebu dalam tahun-tahun 1830an, dan ditempatkan di kebun kopi dalam tahun-tahun 1870an, sebelum beramai-ramai dihantar ke ladang-ladang getah sebagai tenaga buruh murah.

Akmal tidak kekok mengahwini Arti. Ini kerana beliau pernah mendalami ilmu perubatan di Madras, India justeru sudah terbiasa dengan bahasa dan masyarakat Tamil. Malah perkenalan mereka adalah apabila Akmal terlanggarkan kereta baharu Arti, seorang guru di sekolah Tamil, di Muar, betul-betul hadapan Kafe Kopi 434. Hari ini terdapat kira-kira 94,907 buah sekolah Tamil di Malaysia.

Akmal tidak henti memikirkan perayaan Diwali yang pertamanya. Meskipun pernah mengaji di India, Akmal tidak pernah berkesempatan untuk merai dan merayakan Diwali. Ini kerana pusat tumpuannya untuk menghabiskan pengajian dengan cemerlang.

Keluarga mertua Akmal beragama Hindu. Memang sebahagian besar rakyat Malaysia berketurunan India adalah beragama Hindu. Akmal memang menghormati Hinduisme, ini kerana ia adalah antara kepercayaan tertua di dunia. Agama ini tidak ada pengasasnya, tidak juga boleh dikait dengan hanya satu kaum atau bangsa menjadikan sejarah etnik itu tidak semestinya menyatu secara tradisi dengan kepercayaan Hindu.

Bahkan Akmal tahu, Hinduisme terbina secara intim dengan mitos, kisah rakyat, adat, dan juga istiadat orang Hindu menjadikan ia satu tradisi dan gaya hidup yang kompleks. Mujurlah Akmal rajin membaca dan minat pengajian tamadun.

Meskipun dulu bersekolah agama, Akmal terselamat dari kejumudan dan ketertutupan kerana patuh pesan bapanya, supaya jangan menyertai mana-mana jemputan usrah.

Selain itu, Akmal suka membaca tulisan Faisal Tehrani selepas-selepas tujuh karyanya diharamkan. Akmal juga akrab dengan karya Syed Hussein Alatas.

Sejak muda-muda dulu, Akmal Songeh tahu sangat yang Hinduisme adalah satu kepercayaan dekat dengan samsara (kelahiran semula) ditentukan oleh karma (hukum tindak tanduk membawa kepada akibat), dan keselamatan yang dinamai moksa (dimerdekakan dari rantaian atau putaran kelahiran semula). Sebelum mengahwini Arti, Akmal sudah pun tahu yang Hindu adalah agama monoteistik yang mempercayai Tuhan memanifestasi diri dalam bentuk pelbagai.

Akmal berdebar memikirkan Pesta Cahaya. Deepavali selalu jatuh dalam bulan Oktober, atau November, bulan ketujuh kalendar Hindu. Ia adalah satu perayaan yang merayakan kemenangan Krishna melawan makhluk batil, Ravana. Demi menyambut kejuaraan itu orang Hindu menyalakan lampu (diyas). Minggu sudah Akmal membawa isterinya berbelanja danteras (hiasan diri) selain sari, lehengas, dan sherwani baharu. Seronok betul Arti. Manja betul isterinya.

Arti mengusik Akmal betapa dia akan dimandikan dari hujung rambut sehingga ke kaki dengan minyak nallennai. Akmal seronok kerana dia membayangkan Arti akan memandikannya dan menggosok anggota tubuhnya dengan minyak. Dia berahi memikirkan aksi itu menjelang Diwali. Penganut Hindu melakukan itu demi menghapuskan dosa dan menyediakan diri untuk sembahyang di kuil. Tapi Akmal mahu Arti memandikannya demi keseronokan syurgawi. Akmal menelan air liur mengkhayalkannya.

Yang lebih dinanti Akmal ialah thosei padat dan idlli montok dipadan dengan dhal likat dan kari pekat bikinan nenek Arti. Kemudian tentu sahaja ada biryani untuk makan tengahari, dan muruku sebagai kudapan. Dua hari sebelum Diwali, Akmal membantu iparnya menggantung daun mangga bertali di pintu utama. Kata Kumar, abang iparnya, itu untuk menjemput keberkatan dan kerukunan di dalam kehidupan. Adik-adik iparnya seperti Mayank dan Avyan pulang dari Kuala Lumpur bergotong-royong menyiapkan rangoli kolam, lukisan lantai yang identik dengan penganut Hindu setiap kali kemunculan Diwali.

Pada pagi Diwali yang basah, setelah diminyaki dengan tempiasan hujan renyai di luar; Akmal dan Arti menanti mertuanya dan ipar duai pulang dari kuil. Sementara berminyak itu Akmal sempat pula meminyaki Arti. Mereka saling berminyak-minyakan seamat nakal. Sebaik mertuanya pulang dari kuil, mereka mengisi perut lapar dengan makanan tradisi misalnya suran, dan batasha; atau revari (manisan dengan bijan) yang paling digemari oleh Akmal sejak belajar di Madras dulu. Muruku dibuat oleh Arti dan ibu mertuanya pun istimewa juga. Krap krup krap krup berlemak menjamahnya.

Selepas Zohor, keluarga Akmal pula datang berkunjung. Mujurlah Malaysia sekarang Madani, maka mereka tidaklah canggung saling merayakan. Ibu Arti menyediakan lauk-pauk vegetarian untuk keluarga besannya. Memang terkecur liur memikirkan paneer makhni (hidangan dari paneer, rempah dan kacang gajus), aloo gobi (manisan dari kentang, rempah ratus dan kubis bunga), diiringi lauk chana dhal (kari cair) bersertakan dahi bada (vadai direndami dalam yogurt). Selain itu ada juga gulab jamun (bola manisan bersirap) dan malpua; juga nasi jeera. Untuk menambah kalori dan manis, ya sesekali apa salahnya, ada pula kheer (puding susu dan nasi).

Selepas menikmati hidangan, keluarga Akmal dan Arti sama-sama menonton sebuah filem Tamil berjudul ‘Abhiyum Naanum’ di Netflix. Mereka berbual dan berbual dan berbual. Antara topik utama adalah berkenaan permohonan maaf Najib Razak, wajarkah rakyat memaafkannya sedangkan mereka menanggung petaka beberapa generasi akibat dari bencana kewangan itu; dan juga topik lesu-lesinya pembangkang di Dewan Rakyat.

Sebelum pamitan, bapa mertua Akmal, Aadavan memberitahu besannya, Songeh, seorang imam di sebuah masjid di Bukit Mertajam, betapa dia akan berdoa untuk Gaza; “Ini kerana Diwali adalah hari kebenaran mengatasi atas kemungkaran dan kejahatan.”

Songeh mengucapkan kesyukuran dan terima kasih, Haji Songeh membalas dengan ujaran, “Terima kasih, jika semua kepercayaan baik dan suci bersatu, kita akan menewaskan ideologi mungkar seperti ketuanan, zionis dan juga ekstremisme.”

Amin kata Arti, semua mengaminkan sekali.

Ibu Arti menghadiahkan pula besannya, Hajah Azalina sepasang telekung mahal, dan berdoa ibu Akmal itu akan kekal sihat dan namanya naik dalam senarai menunaikan haji.

Agak lewat petang keluarga Arti ke kuil berdekatan lagi untuk menyembah Dewi Lakshmi dan Dewa Ganesh. Susu dan atta dibawa sama sebagai hadiah untuk kuil.

Memang Akmal tidak dapat lama di rumah isteri, kerana sebagai doktor dia memang susah mendapat cuti. Jadi mereka tidak boleh menunggu sehingga hari keempat, untuk Govardhan Puja, yakni hari meraikan Dewa Krishna yang melindungi manusia dengan mengangkat Gunung Govardhan sebagai benteng.

Di hujung hari Diwali, Arti memecahkan berita yang tidak disangka-sangka kepada semua. Dia rupanya mengandung anak sulung. Ibu Arti, Kalyani, langsung sujud syukur. Akmal mengucapkan tasbih tidak terhingga. Arti menyentuh kaki ibunya untuk beroleh keberkatan. Ibunya segera memaut bahu Arti sambil memeluk anak perempuan tersebut. Mereka berpeluk-pelukan sepersis adegan dari filem ‘Suryavamsam, Unnidathil Ennai Koduthen’. Kata Akmal, anak itu kelak akan dinamai sebagai Nasrallah atau ‘bantuan Allah’ jika lelaki. Kalau perempuan dia ingin menamainya sebagai ‘Narges’.

Kalyani tidak henti-henti mengulang agar Allah memelihara cucunya itu. Pun, sebaik terkenang yang dia dilarang dari menggunakan kalimah Allah, Kalyani segera menarik balik dan memohon maaf kepada menantunya. Aadavan sempat mengingatkan isterinya bahawa pencetus awal larangan menggunakan kalimah Allah untuk mereka yang bukan beragama Islam itu telah pun dinobatkan sebagai profesor diraja baru-baru ini.

Di awal tulisan ini saya menyatakan Arti adalah isteri kedua Dr Akmal. Untuk yang sibuk ingin tahu, isteri pertama Dr Akmal telah diceraikan; talak tiga, kerana mereka bukanlah tidak persefahaman atau Akmal kedekut tidak beri duit raya. Tetapi sebenarnya, kerana isteri pertamanya itu meskipun seorang doktor lepasan sekolah perubatan di Rusia, malangnya adalah seorang rasis. Memang padankan muka dia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.