`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 28, 2024

Teruslah doakan Cikgu Din, isteri

 

hishamuddin-aun

Bukan kecil ujian yang dihadapi seorang guru di Sarawak, Izzuddin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din. Sudahlah isterinya menghidap kanser tahap empat di Kota Bharu, Kelantan, permohonan Cikgu Din untuk berpindah dari tempatnya mengajar di Kanowit pula bukan sekadar tidak dilayan, malah diperlekehkan.

Tertekan dengan keadaan itu sambil isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, diramalkan doktor tidak mampu bertahan lebih lama, Cikgu Din pula mengalami kemurungan MDD (Major Depressive Disorder). Daripada asalnya seorang yang sakit, kemudian kedua-dua suami-isteri turut sakit — keadaan yang hanya diperburukkan dengan kedua-duanya duduk berjauhan.

Kita yang membaca dan mengikuti kisah mereka ini tidak tertahan rasa kasihan, apatah lagi pasangan suami-isteri berkenaan yang menanggungnya setiap detik.

Pendedahan kisah mereka bermula dengan perkongsian seorang kenalan Cikgu Din bernama Harima Abd Rahman di laman Facebook pada 23 Okt yang boleh diringkaskan seperti berikut: “Saya kenal Cikgu Din semasa di Sarawak. Rezeki anak yang baru lahir barangkali, dia dapat jadi cikgu dan posting pertama dia di Kanowit sebagai cikgu kontrak. Tapi dah cukup perkhidmatan dan dia dah digazetkan sebagai cikgu tetap.

“Dia datang masa zaman Covid (kita fahami sekitar 2020-2021) dan bawa sekali anak dan isteri, seorang suri rumah. Tengah bahagia jalan-jalan di Sarawak, tiba-tiba isteri dia jatuh tak dapat berjalan. Ulang alik pergi hospital, rupa-rupanya isteri dia ada ketumbuhan. Masa tu baru tahu isteri dia menghidap kanser tulang rawan tahap empat.

“Disebabkan anak masih kecil dan nak rawat kanser tu jauh (Kanowit ke Hospital Sibu lebih kurang dua jam perjalanan), Cikgu Din ambil keputusan bawa balik isteri dia ke Kelantan untuk rawatan kemoterapi. Anak dia pula boleh ayah dan mak mentua dia tengok.

“Cikgu Din buat keputusan untuk ulang alik dari Sarawak ke Kota Bharu setiap dua minggu semata-mata untuk teman dan bagi semangat kepada isterinya. Duit, masa, tenaga semua kena korban sampaikan kawan saya terpaksa minta cuti tanpa gaji sebab semua cuti dah ambik. Walaupun dah selesai satu pusingan kemoterapi, sel kanser pada isterinya masih lagi ada, malah makin membesar.

“Cikgu Din dah minta tukar ke Semenanjung supaya lebih senang menemani isterinya tapi masih belum diluluskan. Dia pergi ke Putrajaya. Dia turun sendiri ke Kuching untuk jumpa pengarah pendidikan tapi keputusannya tetap sama. Tak boleh berpindah ke Semenanjung. Alasan pegawai yang menjaga urusan pertukaran, ‘Tukar hanya boleh dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun’. Bila dia hantar surat untuk bertukar, ada orang atasan yang berkata, ‘Yang sakit tu isteri awak. Awak tak sakit, masih lagi boleh berkhidmat’.

“Akhirnya kawan saya sendiri yang ‘terkorban’. Dia telah disahkan menghidap MDD (Major Depressive Disorder). Di Semenanjung, dia ulang alik ke hospital menemani isterinya. Di Sarawak, dia juga ulang alik ke hospital untuk masalah kesihatannya. Walaupun dah sampai tahap ini, dia masih lagi diberi alasan, ‘Tukar hanya boleh dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun’.

“Hari ini, isterinya tidak lagi diberikan kemo, sel kanser tidak hilang, malah makin membesar. Doktor terpaksa memutuskan untuk berhentikan segala rawatan aktif sehingga memberi isyarat ‘tunggu masa sahaja’. Pada saat Cikgu Din menghitung hari-hari terakhir isterinya, masih belum ada lagi khabar bahawa dia dibenarkan untuk bertukar ke Semenanjung,” begitulah antara coretan Harima yang mendapat 22,000 sukaan, 3,300 komen dan 42,000 perkongsian.

Warga maya yang tersentuh perasaan mereka tidak hanya berdiam diri. Di sebalik mengkritik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak di ruang komen yang didakwa mereka tiada empati dalam kes mendesak seperti ini, ramai yang memanjangkan hantaran berkenaan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“Saya dah komen kat page YBM Fadhlina Sidek, JPN Sarawak dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kuasa viral mampu bantu Cikgu Din. Jom kawan-kawan semua, kita komen kat post mereka yang ada kuasa ni,” tulis seorang bekas guru, Mohd Fadhli Salleh.

Kementerian Pendidikan dalam satu catatan balasnya dalam tempoh 24 jam memaklumkan ia prihatin dengan situasi Cikgu Din dan tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya.

Ini disusuli pengumuman Fadhlina pada satu majlis di Nibong Tebal pada Sabtu bahawa Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran pasangannya buat sementara waktu hasil perbincangan antara KPM dengan JPN Sarawak dan JPN Kelantan. Sebelum itu, beliau telah diberikan cuti untuk bersama-sama isterinya.

Sambil menafikan tindakan diambil hanya selepas isu itu tular, Fadhlina menegaskan proses perbincangan dan juga bagaimana alternatif-alternatif ditawarkan kepada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi. Tiada juga sebarang reaksi terhadap kenyataan keterlaluan yang didakwa daripada seorang pegawai JPN Sarawak sebelumnya.

“Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana perhatian itu telah pun sampai dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din. Kita akan ambil perhatian penuh kepada semua (kes bukan sahaja berkaitan Cikgu Din) berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada,” tambahnya.

Kita tak berminat untuk mempertikaikan pengaruh media sosial terhadap penempatan sementara Cikgu Din — seperti kata seorang warga maya bila dah tular, sehari pun boleh diselesaikan — keutamaan ialah untuk guru berkenaan dapat segera berada bersama-sama isterinya.

Di samping itu, ada banyak juga komen mengenai ‘Napoleon kecil’ yang didakwa memperkecil permohonan pertukaran guru atas sebab-sebab mendesak yang patut turut mendapat pertimbangan KPM.

Beberapa rakan dalam kalangan guru boleh mengesahkan perkara ini dengan gambaran bahawa permohonan pertukaran terutama dari sekolah pedalaman kerap dijawab dengan pelbagai alasan hingga terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya.

Tetapi isu membabitkan Cikgu Din sebenarnya tidak pun memerlukan pertimbangan kedua — permohonannya disokong laporan doktor mengenai tahap kesihatan isterinya. Malah, guru berkenaan wajar dipertimbangkan untuk pertukaran tetap.

Seperti kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah, pegawai KPM perlu empati dan bersikap pragmatik dalam menyelesaikan permohonan perpindahan guru yang berada dalam keadaan mendesak.

Harima menyudahi hantarannya seperti berikut: “Undang-undang ialah undang-undang. Tapi kita bukan haiwan. Kita manusia yang diberikan kebijaksanaan dan juga rasa belas kasihan. Apa guna kita memamah undang-undang kalau hanya untuk merobek sebuah harapan? Apa guna undang-undang jika tidak menerbitkan rasa ihsan?

“Harapan saya hanya bergantung kepada kawan-kawan yang membaca tulisan ini, sebarkanlah agar Cikgu Din dan isteri boleh bersama semula dan mampu menitip kalimah suci sebelum segalanya berakhir. Sebelum hanya tinggal memori yang disulami penyesalan dan dendam.”

Sambil itu, lanjutkanlah rasa kasihan kita dengan terus mendoakan agar urusan Cikgu Din dipermudahkan dan isterinya mendapat kesembuhan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.