`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 6, 2024

Komoditi kelapa diletak bawah Lembaga Koko Malaysia, kata TPM

 

Free Malaysia Today
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berucap merasmikan penutupan Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia Madani, Unisel Depani’ dan Kelapa Fest Bagan Datuk 2024 di Dataran Waterfront hari ini. (Gambar Bernama)

BAGAN DATUK
Jemaah Menteri bersetuju menstrukturkan Lembaga Koko Malaysia dengan memasukkan komoditi kelapa bawah agensi itu, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, penstrukturan itu tidak memerlukan perbelanjaan atau perjawatan tambahan, sebaliknya menggunakan sumber tenaga sedia ada.

“Ini (penstrukturan) satu pendekatan di mana kita tidak mahu berlakunya pembaziran, sebaliknya menggunakan sumber yang ada untuk kita memanfaatkan kelapa ini, bukan khusus untuk Bagan Datuk, tetapi di seluruh negara termasuk di pantai barat dan pantai timur, serta Sabah dan Sarawak.

InsyaAllah, kita akan realisasikan dengan kerjasama semua pihak, kita tidak harus kerja secara bersendirian (in silo) untuk mempromosikan sesuatu produk, terutama produk boleh jana pendapatan tambahan untuk penduduk luar bandar atau desa,
 katanya pada sidang media.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian selepas merasmikan penutupan Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia Madani, Unisel Depani’ dan Kelapa Fest Bagan Datuk 2024 di Dataran Waterfront hari ini.

Zahid berkata, publisiti berkaitan penstrukturan itu mungkin tidak meluas dan beliau sendiri akan bertanya kepada menteri terbabit mengenai sejauh mana keputusan Jemaah Menteri telah dilaksanakan, selain nama baharu bagi agensi tersebut.

Setakat ini, katanya, terdapat kira-kira 215,000 ketua isi rumah di seluruh negara yang terlibat secara langsung sebagai pekebun kecil kelapa.

Berhubung program hari ini, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berazam menganjurkan program seumpama itu pada minggu pertama Oktober setiap tahun.

Kita akan jalinkan kerjasama dengan Unisel (Universiti Selangor) dan juga persatuan agropelancongan serta melibatkan Pejabat Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk mengadakan program ini,
 katanya.
Tahun depan, kita akan tambah luaskan penyertaan dalam bidang ini, selain daripada Unisel dan persatuan agropelancongan untuk membawa pengusaha-pengusaha dalam industri kelapa menyertai Kelapa Fest ini,
 katanya.

Selain itu, Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara mengumumkan Unisel sebagai universiti keenam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Setakat ini, MTUN dianggotai lima universiti, iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Universiti Kuala Lumpur. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.