PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik tidak yakin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin boleh menjayakan ‘agenda penyatuan kebangsaan’ bagi memperkukuh perpaduan Melayu.
Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya percaya agenda itu hanya akan berjaya jika dikepalai tokoh profesional yang merentasi ketaksuban politik, dihormati semua pihak dan diterima untuk mengetuainya.
Sekiranya pihak berkepentingan hendak agenda sedemikian diketuai ahli politik, Tawfik menyarankan pemimpin lebih muda dengan idea-idea segar, dan diyakini pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan.
“Jika suara penyatuan Melayu ini hanya sebelah pihak saja melakukannya tanpa disambut oleh parti politik Melayu dalam kerajaan seperti Umno dan Amanah maka usaha ini akan jadi sia-sia,” katanya.
“Mesti gembleng semua parti dan pertubuhan, bukan untuk menukar kerajaan tetapi untuk mengarusperdanakan suara dan hak orang Melayu.”
Beliau mengulas cadangan ketua Wanita baharu Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, supaya bekas perdana menteri itu mengepalai agenda merentasi parti politik membabitkan pertubuhan serta pemimpin utama Melayu.
Membandingkan kekuatan Bersatu ketika ini dengan sekutunya, PAS, yang mempunyai lebih banyak kerusi dan sumber, Tawfik menyimpulkan: “Zaman beliau (Muhyiddin) pun sudah berlalu.”
Ermieyati ketika mencadangkan perkara ini berkata seruan itu bagi memperkukuh perpaduan Melayu, yang berdepan isu seperti cadangan menjadikan bak kut teh sebagai warisan negara dan Kampung Baru Cina tapak warisan Unesco.
Tawfik melihat cadangan itu sebagai ‘sindrom biasa orang yang tiada kuasa’ untuk mendapat perhatian orang Melayu.
Tegasnya, agenda memperkasa orang Melayu perlu bawa isu yang tidak memfokuskan kepada politik semata-mata, misalnya kemiskinan.
“Ini lebih menyentuh perasaan orang Melayu, kemudiannya akan terjemahkan melalui kuasa politik, berbanding mengulang isu politik yang lebih memecahkan orang Melayu,” katanya.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara percaya Muhyiddin yang dilihat sebagai figura yang mendahului dan menerajui tokoh pembangkang lain mampu menarik rakan-rakan politik untuk bersama menjayakan agenda itu.
Untuk menarik sokongan, Muhyiddin perlu olah naratif yang jelas, dan objektif perlu diterangkan dengan bahasa yang mudah difahami.
“Jika gerakan ini hendak diletakkan ke dalam kerangka yang lebih luas maka Muhyiddin perlu bersikap terbuka dan menerima pandangan orang ramai,” katanya.
“Rapat umum di antara golongan akademik dan terpelajar juga perlu dipertimbangkan bagi memaksimumkan intipati pemikiran dan penghasilan dasar supaya ia boleh diposisikan ke dalam masyarakat.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.