PETALING JAYA: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan program mengatasi masalah gagal menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M) bagi murid tahap satu, tahun depan.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif dikenali Didik Kasih itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) di semua sekolah di negeri itu.
Menurutnya, dianggarkan 25,000 murid sekolah rendah di Selangor berdepan masalah literasi dan numerasi.
Menjelaskan lebih lanjut program untuk mengatasi permasalahan itu, Azri berkata murid terbabit akan menerima modul khas disediakan Yayasan MBI Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor secara percuma.
“Kelas-kelas tuisyen secara percuma juga disediakan, di mana elaun guru dah makanan murid juga ditanggung Yayasan MBI Selangor.
“Program ini dijangka bermula Mac atau April tahun depan, ini akan melengkapkan ekosistem Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di sekolah menengah dan rendah,” katanya kepada FMT.
Program Didik Kasih itu antara peruntukan diluluskan menerusi Belanjawan Selangor 2025 untuk program pendidikan yang keseluruhan membabitkan perbelanjaan RM15 juta.
Pada September lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dikesan gagal menguasai kemahiran 3M, selepas tiga bulan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) di sekolah seliaan KPM.
Sebagai intervensi awal, seramai 27.5% murid mewakili daripada keseluruhan 448,113 Tahun Satu itu perlu mengikuti program intervensi selama tiga bulan bermula Ogos.
Mengikut pecahan, seramai 62,928 murid masih belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum iaitu Tahap Penguasaan 1, katanya, manakala 45,465 murid belum menguasai literasi dan baki 13,669 murid belum menguasai numerasi.
Beliau turut memaklumkan satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk memantau program intervensi berkenaan, selain melihat kesesuaian kurikulum sedia ada. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.