`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 21, 2024

‘Berasap’ di kedai makan, Tok Mat dah bayar kompaun

 

TOK MAT MOHAMAD HASAN
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata tiada lagi isu berbangkit berhubung perkara itu kerana beliau sudah membayar kompaun.

PETALING JAYA
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata beliau sudah membayar kompaun selepas dikenakan notis akibat merokok di sebuah kedai makan di Seremban baru-baru ini.

Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat itu berkata, beliau menjelaskan kompaun yang dikenakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban itu sehari selepas menerima notis berkenaan, lapor Harian Metro.

“Saya sudah bayar kompaun… Alhamdulillah, tiada apa lagi yang berbangkit.

“Syukurlah kompaun yang dikenakan itu tidak terlalu tinggi dan semuanya selesai,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau itu enggan mendedahkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap beliau.

Sebelum ini, tular foto Mohamad yang dilihat memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Seremban.

Pada Rabu lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata notis akan diberikan kepada Mohamad selepas beliau sendiri minta dikompaun atas kesalahan itu.

Dzulkefly berkata tiada sesiapa pun terkecuali daripada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata, Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Okt lalu akan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

Mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, manakala pemilik perniagaan yang gagal mempamer papan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.

Seksyen 16 Akta 852 pula memperuntukkan individu merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.