`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 21, 2024

IPT digesa wujud segera ‘hotline’ lapor kes buli

 

Free Malaysia Today
Ahli akademik turut menggesa kerajaan memperkenalkan Dasar Anti-Buli di IPT yang memberi tumpuan kepada pencegahan, intervensi dan hukuman yang bersesuaian bagi mewujudkan kesedaran penuntut. (Gambar Fail)

PETALING JAYA
Institut pengajian tinggi (IPT) digesa mewujudkan talian penting (hotline) bagi membolehkan pelajar membuat aduan segera berkaitan kes buli.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Alif Jasni berkata, talian itu merupakan keperluan mendesak ketika ini susulan peningkatan kes buli melibatkan pelajar IPT yang semakin membimbangkan.

“Pihak universiti harus menjalankan kempen untuk memaklumkan kepada semua pelajar dan kakitangan mengenai kewujudan ‘hotline’ ini.

“Malahan, pekerja keselamatan universiti juga perlu dilatih untuk menangani laporan buli dengan profesional,” katanya kepada FMT.

Mohd Alif berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes buli yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini dengan kes terbaru melibatkan pelajar dipukul beramai-ramai di sebuah IPT di Seri Iskandar, Perak.

Selain itu, pada 18 Dis lepas, polis menahan 12 penuntut sebuah IPT di Terengganu yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir di sebuah kolej kediaman.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian seorang Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dipukul beramai-ramai menggunakan objek seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.

Dalam pada itu, Mohd Alif turut menggesa kerajaan memperkenalkan Dasar Anti-Buli di IPT yang memberi tumpuan kepada pencegahan, intervensi dan hukuman yang bersesuaian bagi mewujudkan kesedaran penuntut.

Sementara itu Pensyarah Kanan, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM) Sabri Sulaiman pula menggesa agar program yang boleh menjurus ke arah memupuk hubungan positif dan empati serta kesan buruk buli segera dilaksanakan.

“Selain itu, pensyarah, kakitangan pentadbiran dan pemimpin mahasiswa perlu diberi latihan bagaimana untuk campur tangan dengan berkesan apabila mereka menyaksikan tingkah laku buli serta membantu mangsa buli,” katanya.

Tambahnya, pihak institusi juga perlu menawarkan program rehabilitasi pembuli seperti bengkel pengurusan kemarahan atau pembangunan empati.

“Program-program ini bertujuan menangani punca tingkah laku agresif dan mengajar mahasiswa cara berinteraksi dengan orang lain secara lebih sihat dan tidak ganas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.