
Ainon berkata beliau menerima teguran dan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu pertemuan hari ini serta akur dengan nasihat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
“Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan. Saya memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat sebelum menerbitkan sebarang penulisan di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pihaknya menyiasat perkongsian hantaran yang didakwa menghina Nabi Muhammad itu susulan 13 laporan polis yang diterima di seluruh negara setakat malam tadi.
Razarudin berkata, pihaknya juga turut merujuk kes sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia agar hantaran itu diturunkan daripada akaun Facebook wanita berusia 75 tahun itu kerana ia boleh mengelirukan pembaca.
“Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan dengan tindakan awal kita adalah memanggil pemilik akaun,” katanya.
Sementara itu, Ainon berkata beliau sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selain komitmen untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial dan merujuk pakar dalam isu-isu sensitif.
“Saya menghormati usaha Jakim dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad.
“Sebagai seorang yang bergiat dalam bidang penerbitan, saya sentiasa menyokong usaha dakwah dan pendidikan yang membina kefahaman Islam dengan penuh adab dan tanggungjawab,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.