`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 28, 2025

Pengiktirafan Sultan Selangor bukti kejayaan pelan penstrukturan TH, kata Mujahid

tabung haji
Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Lembaga Tabung Haji perlu bebas daripada pengaruh politik dan kesan perubahan pengurusan tertingginya dapat dilihat menerusi prestasi kewangan TH yang semakin kukuh.

PETALING JAYA
Pengiktirafan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bukti pelan penstrukturan dan pemulihan pada 2018 termasuk membebaskan agensi itu dari orang politik sebagai langkah tepat, kata bekas menteri agama.

Mujahid Yusof Rawa, menteri yang bertanggungjawab terhadap pelan berkenaan berkata pemulihan drastik perlu dilakukan segera memandangkan defisit hutang TH ketika itu mencecah RM10 bilion.

Walaupun dikecam hebat ketika melaksanakan rombakan besar itu, timbalan presiden Amanah berkata beliau bertanggungjawab menyelamatkan institusi pengurusan haji negara daripada terus dimanipulasi oleh kepentingan politik.

Mujahid Yusof Rawa
Mujahid Yusof Rawa.

“Bila saya ambil alih (jawatan menteri agama), perkara besar pertama saya buat adalah pastikan TH bebas dari campur tangan politik, kita lantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah dari kalangan profesional dan pakar syariah.

“Kedua, kita pastikan dividen dibayar mengikut kemampuan kewangan sebenar TH ketika itu, bukan orang politik yang tentukan dengan tujuan nak bagi rakyat seronok. Lagi-lagi bila masuk musim pilihan raya, bagi dividen tinggi walaupun hakikatnya nilai liabiliti lagi tinggi dari aset,” katanya kepada FMT.

“Masa saya bagi dividen rendah, orang kecam saya kata menteri paling jahat menteri paling teruk dalam sejarah tetapi realitinya pembayaran dividen ketika itu (sebelum 2018) tidak mengikut Akta Tabung Haji,” katanya sambil menambah ia amat berbahaya kepada kelangsungan operasi TH untuk jangka panjang.

Jelasnya, semasa pelan pemulihan, beliau hanya bertindak atas nasihat diberikan oleh pengurusan tertinggi TH yang terdiri dari kalangan kumpulan profesional seperti termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995.

“Jadi, setiap keputusan dibuat ketika itu mengikut proses sewajarnya, maksudnya tiada arahan tertentu dari orang politik yang perlu dipatuhi ahli lembaga pengarah,” katanya.

Sebelum Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk kerajaan pada 2018, Pengerusi TH adalah Abdul Azeez Rahim, ahli politik dari Umno. TH kini diterajui oleh tokoh korporat perbankan, Abdul Rashid Hussain yang dilantik ke jawatan itu sejak 2023.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin menzahirkan kesyukuran apabila TH kini diterajui mereka yang profesional dan berpengalaman dalam menguruskan syarikat, berbanding ‘pengaruh politik’ sebelum ini.

Titahnya, kesan kepada perubahan pucuk pimpinan dapat dilihat apabila prestasi TH secara beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun.

Pada 21 Mac, TH umum agihan keuntungan lebih baik iaitu 3.25% selepas zakat bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun manakala tahun sebelumnya pula sebanyak 3.1%, mengekalkan rekod sama selama empat tahun berturut-turut.

Mujahid berkata walaupun Sultan Selangor tidak menyebut secara khusus ‘kesan perubahan pucuk pimpinan’ itu, beliau percaya ia merujuk penstrukturan besar-besaran TH ketika di bawah tanggungjawabnya.

“Terima kasih Tuanku kerana melihat perkara itu (penstrukturan TH) dan (prestasi kewangan TH semakin baik) semuanya ikhtiar atau tekad yang telah kita buat bermula 2018,” katanya.

Tambahnya, pengukuhan kewangan TH juga hasil daripada pemindahan aset tidak menguntungkan, bantuan bersasar subsidi haji, agihan dividen mengikut Akta Tabung Haji 1995 dan menumpukan pelaburan dalam sektor yang mampu memberi pulangan besar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.