`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 28, 2025

‘Tak guna’ pelajar pakai lencana Jalur Gemilang, ahli politik terus main isu 3R

 

sekolah rendah
Kelmarin, KPM memaklumkan akan menguatkuasakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar bagi memupuk perpaduan antara kaum.

PETALING JAYA
Kumpulan ibu bapa ragu-ragu keberkesanan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar bagi memupuk perpaduan pelbagai kaum dan budaya.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata, usaha itu sia-sia jika jiwa pelajar tidak disemai dengan nilai murni dan hidup majmuk sejak kecil.

“Saya tidak rasa menyemat lencana itu berkesan untuk pupuk semangat perpaduan dan patriotisme … membazir saja.

“Jika jiwa anak-anak tidak dididik dengan nilai perpaduan dan toleransi, pakai 10 lencana pun tidak akan berguna,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pelajar akan diwajibkan menyemat lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam bagi memupuk perpaduan antara kaum.

Dalam surat pekeliling ikhtisas, KPM berkata, perkara itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 14 Feb dan akan dikuatkuasakan bermula 21 April ini.

Lencana Jalur Gemilang itu perlu disemat pada sebelah kanan pakaian seragam melibatkan pelajar sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi, dan institusi pendidikan guru.

Mengulas lanjut, Mak berkata, perpecahan rakyat hari ini bukan berpunca daripada pelajar sebaliknya dicetuskan oleh ahli politik yang terus mempergunakan isu kaum dan agama untuk kepentingan diri.

“Selagi pemimpin politik masih memperkudakan bangsa dan agama sebagai modal politik dan masyarakat umum pula mula terpengaruh, susah untuk kita capai perpaduan dan toleransi seperti dulu.

“Sebenarnya murid tiada masalah pun … yang bermasalah ialah orang politik, mereka yang menjahanamkan perpaduan,” katanya sambil menegaskan perpaduan rentas kaum sukar dicapai jika kelompok berkenaan terus meniup sentimen 3R (kaum, agama, institusi diraja).

Justeru, beliau mencadangkan wakil rakyat memakai lencana ‘Dilarang Menyentuh Isu 3R’ sebagai peringatan supaya mereka sendiri tidak merosakkan keharmonian negara.

Menurutnya, jika pemimpin berhenti mengeksploitasi isu perkauman dan menunjukkan teladan yang baik, masyarakat akan lebih mudah mengamalkan sikap hormat-menghormati tanpa paksaan atau simbolisme kosong seperti pemakaian lencana.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia Anuar Ahmad menyambut baik langkah KPM itu, namun menegaskan terdapat agenda lebih besar yang perlu diberi perhatian iaitu penghayatan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dalam kalangan pelajar.

Tegasnya, program pemerkasaan patriotisme seharusnya tidak terhad kepada institusi KPM, sebaliknya digerakkan di semua jenis sekolah termasuk sekolah persendirian, swasta dan antarabangsa, kerana majoritinya terdiri daripada pelajar tempatan.

Sebagai contoh, katanya, Perkara 152 Perlembagaan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka semua pelajar warganegara wajib menguasainya, namun tetap menghormati hak mereka untuk belajar dan mengamalkan bahasa ibunda masing-masing.

“Mewajibkan lencana Jalur Gemilang sahaja tidak cukup. KPM mesti turut mewajibkan program penghayatan Perlembagaan dan Rukun Negara bagi semua pelajar bagi membentuk jati diri yang sebenar,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.