Rosol Wahid berkata beliau menuntut penjelasan Anwar Ibrahim berhubung kuasanya menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Wakil rakyat Bersatu itu berkata LOD dihantar firma guaman Karthig Shan hari ini bagi menuntut penjelasan Anwar berhubung kuasa perlembagaan membolehkannya menandatangani ART ketika lawatan Presiden AS Donald Trump, Oktober lalu.
Dalam tuntutannya, Rosol mempersoalkan autoriti perundangan digunakan Anwar untuk memeterai perjanjian itu dan keupayaan eksekutif untuk mengikat Persekutuan tanpa pematuhan kepada Perlembagaan.
Rosol juga mempersoalkan sama ada perdana menteri telah melalui Jemaah Menteri, mendapatkan nasihat Peguam Negara dan perkenan Majlis Raja-Raja sebelum ART dimeterai.
“Kita juga meminta perdana menteri menjelaskan sama ada Parlimen telah meluluskan sebarang undang-undang penguatkuasaan atau pengesahan berkaitan perjanjian itu,” katanya pada sidang media.
Turut hadir, Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy yang bertindak sebagai peguam Rosol dan Presiden Putra Ibrahim Ali.
Rosol menegaskan Perkara 69 Perlembagaan memberi kuasa kontraktual kepada ‘Persekutuan’, bukan kepada perdana menteri atau mana-mana individu.
Justeru, katanya, sebarang perjanjian yang mengikat negara mesti melalui organ perlembagaan berkaitan dan tidak boleh ditandatangani secara unilateral oleh eksekutif.
“Perdana menteri tidak mempunyai kuasa menandatangani ART bagi pihak Persekutuan tanpa kelulusan Parlimen,” katanya.
Waytha Moorthy berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi sekiranya Anwar dan kerajaan tidak menjawab tuntutan itu dalam tempoh 14 hari. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.