`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, March 26, 2026

Terima kasih Iran benarkan kapal Malaysia lalui Selat Hormuz, kata Anwar

 Perdana menteri berkata sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dan gas global berpotensi memberi impak kepada Malaysia.

Strait of Hormuz
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan dalam proses melepaskan kapal tangki minyak Malaysia dan pekerja terbabit supaya dapat meneruskan perjalanan pulang melalui Selat Hormuz. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
 Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berterima kasih kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.

“Sekarang, kita dalam proses melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan pulang,” katanya dalam perutusan khas.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Pezeshkian dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi membincangkan ketegangan di Asia Barat.

Beliau turut bercakap dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif buat kali ketiga untuk mendapat keterangan tentang langkah perdamaian susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

“Tetapi, tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka tertipu berulang kali dan sukar menerima langkah ke arah perdamaian tanpa sesuatu yang boleh mengikat perjanjian dan jaminan keselamatan bagi negara mereka.

“Tempiasnya juga berlarutan ke Lubnan, lebih sejuta kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Dan jangan lupa, pokok pangkal masalah Palestin dan Gaza belum terurus, malah bencana itu menyebabkan mereka lebih sengsara.”

Anwar berkata, sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dan gas global berpotensi memberi impak kepada Malaysia, namun negara dalam kedudukan lebih baik hasil keupayaan syarikat tenaga nasional Petronas menguruskan bekalan dan kestabilan tenaga.

Jelasnya, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha keamanan serantau sambil memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat serta ekonomi negara terus terpelihara.

“Kerajaan telah menyatakan pendirian tegas menentang kezaliman, penindasan dan pencerobohan Israel seta AS. Namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila tindak balas Iran bukan sahaja memberikan kesan kepada Israel, malah tempiasnya turut dirasai negara Teluk.”

Katanya, Malaysia bersyukur kekal aman dan stabil, namun tidak terlepas daripada kesan konflik memandangkan hubungan rapat negara dengan Iran serta negara Teluk dalam aspek perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kebudayaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.