`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Tuesday, June 2, 2026

Bersama sukar tembus Sabah tanpa nama besar, sentimen tempatan, kata penganalisis

 Lee Kuok Tiung berkata Bersama bakal berdepan 'tembok realiti yang tebal' di Sabah.

Rafizi Ramli Nik Nazmi Nik Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad jangka Bersama bakal berdepan kesukaran di Sabah kerana asas penubuhannya hanya berkisar penjenamaan semula oleh pemimpin peringkat akar umbi yang keluar parti.
PETALING JAYA:
Parti Bersama Malaysia (Bersama) bakal berdepan ‘tembok realiti yang tebal’ di Sabah atas faktor kecenderungan rakyatnya memilih parti tempatan dan ketiadaan pimpinan bertaraf ‘nama besar’, kata penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, PRN tahun lalu menunjukkan negeri itu mempunyai dinamika unik dipengaruhi kebangkitan kuat sentimen tempatan, menyaksikan parti nasional hanya menang lapan daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Barisan Nasional (BN) menang enam manakala Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh satu DUN.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

“Realitinya sukar melihat ada ruang kosong boleh diisi Bersama. Geografi politik Sabah hanya ada 25 kerusi Parlimen dan semuanya sudah terbahagi mengikut etnopolitik (politik etnik) yang jelas.

“Malah berpandukan profil pimpinan bekas PKR Sabah yang menyertai Bersama, ia kelihatan seperti parti serpihan yang longgar kerana rata-ratanya bukan wakil rakyat mahupun figura politik berpengaruh,” kata Lee kepada FMT.

Bersama diambil alih oleh dua bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu yang mengisyiharkan keluar parti.

Di peringkat Sabah, parti itu setakat ini aktif digerakkan bekas pimpinan PKR antaranya Razeef Rakimin.

Bekas ketua penerangan PKR Sabah itu dalam hebahan di media sosialnya berkata Bersama mahu mengakhri dominasi politik lama dan menolak kompromi semata-mata untuk kuasa.

Sehubungan itu, bekas ketua PKR Tuaran itu menegaskan yang Bersama akan bertanding di kawasan PH terutama PKR, malah BN serta PN, walaupun kebanyakan kerusi terutama DUN di Sabah kini dikuasai parti tempatan.

Seorang lagi penganalisis Syahruddin Awang Ahmad juga dari UMS berpendapat, langkah mengelak pertembungan dengan kuasa besar parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan Bersama tidak mempunyai taring politik sebenar.

Syahruddin Awang Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad.

“Akhirnya demi memastikan kelangsungan talian hayat politik di Sabah, mereka mungkin terpaksa akur menjadi sekadar pelengkap atau rakan komponen ‘junior’ yang tidak dominan dalam mana-mana gabungan,” katanya.

Beliau menjangkakan Bersama bakal berdepan kesukaran di Sabah kerana asas penubuhannya hanya berkisar penjenamaan semula oleh pemimpin peringkat akar umbi yang keluar parti serta tidak mengikut acuan tempatan.

Membandingkannya dengan Upko yang keluar PH menjelang PRN, Syahruddin berkata parti tempatan berkenaan memiliki struktur sejarah dan jentera mantap.

Katanya, keadaan itu membantu Upko menang tiga kerusi pada pilihan raya negeri lalu.

“Tanpa kekuatan asas sedemikian, Bersama sebenarnya hanya bergantung kepada penjenamaan semula bekas pemimpin bawahan yang bertindak keluar parti.

“Keadaan itu sudah tentu menyukarkan penggerak Bersama untuk membina keyakinan dan menarik sokongan pengundi Sabah yang lebih cenderung memilih parti mempunyai penjenamaan serta struktur stabil,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.