`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Monday, June 29, 2026

Tiada isu ‘langgar kawasan’, Mazlan yakin diterima PAS di Kahang

 Bekas ketua Bersatu Johor itu berkata tidak timbul isu boikot atau rasa tidak puas hati dalam kalangan jentera PAS selepas beliau dipilih bertanding atas tiket PN.

Mazlan Bujang
Mazlan Bujang yakin beliau dan PAS mampu memberi cabaran di sebalik kekuatan BN di DUN Kahang.
KLUANG:
Bekas ketua Bersatu Johor Mazlan Bujang menepis wujud isu beliau ‘langgar kawasan’ dengan bertanding mewakili PAS menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) di DUN Kahang.

Bekas exco kerajaan Johor itu bertanding dan menang di DUN Puteri Wangsa pada PRU 2018 dengan majoriti 24,959 undi.

DUN Kahang terletak di bawah Parlimen Sembrong manakala Puteri Wangsa, satu daripada kerusi terangkum dalam Parlimen Tebrau.

Bercakap kepada FMT, Mazlan berkata ahli PAS menerimanya secara terbuka dan tidak berlaku perebutan untuk menjadi calon selepas pimpinan membuat keputusan.

“Kalau saya masuk parti lain dan bertanding di Johor Bahru misalnya, mungkin sudah kena boikot.

“Tetapi di sini terbalik dan tidak timbul isu rasa tak puas hati kerana langgar kawasan atau bakal diboikot,” katanya mengulas sama ada wujud isu terbabit susulan pemilihnnya sebagai calon.

Beliau turut memuji jentera PAS yang disifatkan sebagai ‘unik’ dan ikhlas bekerja.

“Nak tampal poster, buat gerak kerja dan sebagainya semua dibuat tanpa minta duit minyak atau duit air.

“Itu yang saya rasa berbeza dan positif untuk dicontohi parti-parti lain,” katanya.

Mengulas cabaran di DUN Kahang yang dianggap kubu kuat BN, beliau mengakui bukan tugas mudah berdasarkan majoriti 6,698 undi dimenangi parti pemerintah kerajaan Johor itu pada PRN, empat tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, pola pengundian dan sentimen rakyat boleh berubah selain keyakinan terhadap agenda perpaduan ummah memberi harapan positif kepada PAS.

“Kita berusaha dan bertawakal. Apa juga keputusan akhirnya kita terima dengan reda,” katanya.

Mazlan akan berdepan calon BN, V Rugendran dan calon Pakatan Harapan (PH) Sabri Kadir pada PRN 11 Julai depan.

Difahamkan beliau menyertai PAS menjelang pengumuman calon, minggu lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.