Nasir Saukani berkata, kebimbangan Sarawak wajar diberi perhatian, namun sokongan diesel perlu disasarkan supaya bekalan terhad sampai kepada pengguna yang paling memerlukannya.

Nasir Saukani dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kebimbangan bahawa had 200 liter sebulan tidak sesuai dengan realiti Sarawak adalah wajar, terutama mengambil kira jarak perjalanan jauh, kos logistik lebih tinggi dan kebergantungan besar terhadap pengangkutan diesel.
Namun, katanya, perkara penting yang sering terlepas pandang ialah mekanisme itu tidak meletakkan semua pengguna dalam kategori sama.
“Kritikan itu menganggap kerajaan menggunakan satu pendekatan tumpul untuk semua orang. Tetapi pembaharuan ini sebenarnya melakukan sebaliknya.
“Ia dibezakan, dengan layanan berasingan untuk pengendali komersial, pemilik individu dan perniagaan kecil, kerana keperluan mereka memang berbeza,” katanya kepada FMT.
Nasir berkata, penggunaan lori yang memerlukan lebih 2,000 liter diesel sebulan bagi perjalanan jarak jauh, misalnya, dikategorikan sebagai penggunaan komersial, bukannya tertakluk kepada had 200 liter seperti kenderaan persendirian.
Katanya, pengangkutan komersial terus disokong melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), yang menetapkan kelayakan mengikut saiz dan keperluan operasi sebenar kenderaan.
“Soalnya bukan sama ada 200 liter cukup atau tidak untuk lori. Soalnya ialah sama ada setiap pengguna berada dalam saluran yang betul,” katanya.
“Yang penting untuk Sarawak, skim ini kini diperluas ke negeri itu, meliputi lebih 70,000 kenderaan tambahan dan 33 jenis kenderaan, termasuk lori rigid dan prime mover yang membawa barangan merentasi kawasan pedalaman.”
Nasir berkata, status Sarawak sebagai negeri pengeluar minyak juga perlu difahami dengan seimbang, kerana hakikat itu membawa nilai emosi dan sejarah yang besar.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan bekalan yang dihadapi ketika ini bersifat fizikal dan global, serta memberi kesan kepada seluruh negara tanpa mengira di mana minyak mentah dihasilkan.
“Pengeluaran minyak dan gas memberi sedikit ruang kepada Malaysia dan Sarawak, tetapi ia tidak menjadikan kita kebal daripada kos import, kadar pengangkutan dan turun naik harga serantau.
“Melindungi bekalan penting di setiap negeri, termasuk Sarawak, adalah tugas nasional bersama,” katanya.
Nasir berkata, tiada pilihan yang benar-benar mudah dalam keadaan bekalan fizikal ketat dan bil subsidi meningkat susulan harga global.
Katanya, subsidi secara menyeluruh mungkin lebih popular, tetapi ia tidak akan menambah bekalan diesel, sebaliknya boleh menambah tekanan dan berisiko mendorong harga naik.
“Sokongan terhad perlu disalurkan kepada keperluan sebenar, iaitu pengangkutan komersial, pengedaran penting dan golongan paling rentan.
“Itulah cara kerajaan melindungi rakyat dan memastikan bekalan yang ada dapat bertahan lebih lama,” katanya.
Nasir menjawab kenyataan aktivis sosial Voon Shiak Ni yang sebelum ini berkata perluasan dasar subsidi diesel ke Sarawak gagal mencerminkan ‘realiti’ pengangkutan dan logistik negeri itu.
Mulai 1 Julai, kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di seluruh negara boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di bawah BUDI Diesel.
Di bawah mekanisme baharu itu, pembelian diesel bersubsidi perlu dibuat menggunakan MyKad, dengan had 200 liter sebulan. Pemilik pikap dan kenderaan pacuan empat roda pula boleh memohon kuota tambahan 100 liter. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.