KTMB berkata stesen itu patut mula operasi 5.30 pagi tetapi faktor kesihatan petugas menyebabkan pintu masuk lewat dibuka.

Dalam satu kenyataan, KTMB berkata stesen tersebut sepatutnya mula beroperasi pada 5.30 pagi namun atas faktor kesihatan seorang kakitangannya menyebabkan pintu masuk ke stesen itu lewat dibuka.
“Setelah dimaklumkan pada kira-kira 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka, pegawai bertugas telah cuba menghubungi kakitangan berkenaan namun tidak berjaya.
“Tindakan segera kemudiannya diambil dengan mengarahkan seorang kerani kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas pada 7 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit,” kata kenyataan itu.
Katanya, kerani berkenaan tiba kira-kira 6.30 pagi sebelum pintu masuk utama ke stesen berjaya dibuka.
Menurut KTMB, kejadian itu menyebabkan kira-kira 25 penumpang gagal menaiki dua perkhidmatan KTM Komuter, iaitu Tren 2901 dan Tren 2903 yang masing-masing dijadualkan berlepas pada 5.58 pagi dan 6.18 pagi.
KTMB berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan kerana akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang perkhidmatan awal pagi.
“Siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan prosedur yang ditetapkan.
“KTMB kekal komited untuk memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kepentingan penumpang sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman video yang memaparkan beberapa individu terpaksa memanjat pagar stesen berkenaan yang masih berkunci untuk menaiki tren. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.