`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Wednesday, November 4, 2026

‘Gentar lawan Adly tapi saya takkan mengalah’, kata calon PN Bukit Katil

 Ridzuan Sarif mengakui perlu bekerja lebih keras menyaingi bekas ketua menteri Melaka namun yakin sokongan keluarga dan jentera parti mampu membantunya hadapi cabaran.

RIDZUAN SARIF
Calon PN Bukit Katil Ridzuan Sarif berkata menang atau kalah lumrah pertandingan.
HANG TUAH JAYA:
Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bukit Katil, Ridzuan Sarif mengakui berdepan cabaran besar apabila menentang bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari pada PRN 14 Nov ini.

Beliau menyifatkan Adly sebagai tokoh berpengalaman dengan rekod politik tersendiri, justeru mengakui perlu bekerja lebih keras untuk menyaingi calon Pakatan Harapan (PH) itu.

Bagaimanapun, Ridzuan berkata menang atau kalah adalah lumrah pertandingan, sebaliknya keutamaannya ialah mendekati masyarakat dan menyantuni pengundi.

“Saya tidak menafikan beliau merupakan seorang tokoh negarawan. Pada masa sama, saya perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan kemenangan khususnya di DUN Bukit Katil.

“Apa yang paling penting ialah usaha kita, bagaimana kita menyantuni masyarakat setempat, turun ke lapangan dan bertemu semua pengundi,” katanya dalam temu bual FMT.

Ridzuan turut mengakui gentar berdepan Adly, namun sokongan keluarga, rakan dan jentera parti meningkatkan keyakinannya untuk meneruskan kempen.

Katanya, sokongan itu turut diterima menerusi media sosial, sekali gus membantunya membina semangat sepanjang berkempen.

Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari, berkata Adly calon terbaik setakat ini untuk menerajui Melaka jika gabungan itu mendapat mandat membentuk kerajaan.

Adly pernah menjadi ketua menteri Melaka dari Mei 2018 hingga Mac 2020 selepas PH mengambil alih pentadbiran negeri pada PRU14.

Sementara itu, Ridzuan yang merupakan calon muka baharu berkata maklum balas positif penduduk sepanjang empat hari pertama kempen mendorongnya terus mendekati pengundi.

“Penduduk mahukan perubahan dan wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, pengalaman kira-kira 20 tahun dalam sektor awam, termasuk sebagai pegawai kesihatan dan keselamatan Melaka, menjadi bekalan untuk menawarkan khidmat kepada penduduk Bukit Katil.

Jika diberi mandat, beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keperluan penduduk kawasan itu, berbeza dengan tugas terdahulu yang meliputi seluruh negeri.

Ridzuan turut menyifatkan kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) sebagai kelebihan kepada jentera gabungan itu dalam menghadapi PH.

Katanya, kerjasama itu bukan sekadar laungan penyatuan ummah, sebaliknya diterjemahkan melalui gerak kerja bersama di lapangan.

Selain Adly, Ridzuan bakal dicabar Aliza Che Amran daripada Bersama dan calon bebas Abu Bakar Sabudin.

Pada PRN November 2021, Adly mengalahkan calon BN Hasnoor Sidang Husin dengan majoriti 1,057 undi.

Bukit Katil adalah kerusi majoriti Melayu dengan kaum itu merangkumi hampir 65% daripada keseluruhan pengundi, diikuti Cina (29%), India (5%) dan lain-lain (1%). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.