`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, January 8, 2022

Hampir 80,000 tan sampah di 5 negeri terjejas banjir

 

Taman Sri Muda dipilih untuk diadakan operasi pasca banjir kerana kawasan tersebut merupakan antara lokasi yang teruk terjejas banjir dengan lebih 20,000 tan sampah dikutip, menurut Reezal Merican Naina Merican.

SHAH ALAM: Sebanyak 77,465 tan sampah berjaya dikutip dan dibersihkan di lima buah negeri terjejas teruk akibat bencana banjir oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan (SWCorp) dengan kerjasama Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Reezal Merican Naina Merican berkata, Selangor mencatat kutipan sampah tertinggi iaitu sebanyak 48,100 tan.

Manakala 27,350 tan dari Pahang, Negeri Sembilan (1,270 tan), Kuala Lumpur (630 tan) dan yang terakhir Melaka mencatat sebanyak 115 tan setakat semalam.

“Tetapi kita kena ingat ada beberapa negeri yang belum memasuki pasca banjir, air masih lagi bertangkung seperti sebahagian di Pahang dan Johor jadi angka ini akan bersifat dinamik dan akan berubah dan meningkat,” katanya dalam sidang media khas bagi Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Beliau berkata, Taman Sri Muda dipilih untuk diadakan operasi pasca banjir kerana kawasan tersebut merupakan antara lokasi yang teruk terjejas banjir dengan lebih 20,000 tan sampah dikutip melibatkan 10,000 kediaman serta membabitkan 23,000 penduduk.

“Pentingnya operasi pasca banjir kerana dalam tempoh ini kita sedang membuat perancangan untuk mengembalikan dan memulihkan.

“Selepas ini akan ada fasa pembaikan rumah dan juga pembinaan rumah, yang juga kita akan lakukan itu bersama dengan kerajaan negeri,” tambahnya.

Seramai 1,400 orang sukarelawan dan 600 orang pekerja pembersihan terlibat dalam Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam ini.

Menurut KPKT, tumpuan akan diberikan kepada kerja pembersihan sisa banjir khususnya longkang-longkang yang tersumbat dengan pertambahan jumlah aset seperti water jetter, water tanker, vacall, loro roro, FRV bomba dan kenderaan utiliti serta alat pembersihan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang turut turun padang menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak kerajaan persekutuan, agensi-agensinya, majlis perbandaran, NGO dan sukarelawan kerana bersama mengembleng tenaga dalam operasi pembersihan pasca banjir.

“Kerajaan negeri tak boleh ‘claim’, saya lihat pembentangan datuk bandar membuktikan ada NGO, ada badan agensi kerajaan persekutuan seperti SWCorp, DBKL, majlis-majlis perbandandaran lain yang membantu sehingga kita berjaya menyelesaikan fasa pertama,” ujarnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.