`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 7, 2022

Pemulihan pasca banjir, Selangor lulus peruntukan segera lebih RM40 juta

 

Amirudin Shari berkata, segala usaha pemulihan dan pembaikan sungai, termasuk infrastruktur yang sebahagiannya sudah dimulakan, dijangka dapat selesai dalam sebulan hingga dua bulan lagi.

SHAH ALAM: Lebih RM40 juta peruntukan segera diluluskan kerajaan Selangor bagi pemulihan dan pengukuhan sungai, cerun dan tebing jalan terjejas akibat banjir di negeri itu bulan lalu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata peruntukan itu hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, yang antara lain meluluskan peruntukan RM9.18 juta bagi 13 projek kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

“Ini membabitkan usaha pengukuhan tebing sungai, pembinaan ban sungai, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad, pembelian set penjana mudah alih serta penambahan sistem amaran banjir di kawasan titik penting,” katanya pada sidang media khas pasca banjir.

Beliau berkata, RM31.7 juta diluluskan kerajaan negeri kepada Jabatan Kerja Raya Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun dan tebing jalan agar laluan ditutup dapat dilalui semula.

Katanya, segala usaha pemulihan dan pembaikan sungai, termasuk infrastruktur yang sebahagiannya sudah dimulakan, dijangka dapat diselesaikan dalam sebulan hingga dua bulan lagi.

Setakat semalam, beliau berkata, 908 rumah di lapan daerah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dibina baharu.

“Kita telah mengenal pasti 876 rumah memerlukan baik pulih, manakala 32 lagi perlu dibina baharu.

“Kerajaan negeri akan meneliti senarai penuh yang sedang dimuktamad dan mengumumkan usaha bantuan kepada keluarga ini dalam masa terdekat.”

Selain itu, pembinaan semula rumah hanyut akibat banjir akan turut dilaksanakan secara bersama oleh Lembaga Zakat Selangor dan kerajaan persekutuan.

Mengenai operasi pembersihan pasca banjir, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan semua kerja terbabit akan selesai hujung bulan ini.

“Fasa pertama kutipan sisa banjir diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya 14 Jan, disusuli fasa kedua pembersihan selama dua minggu yang melibatkan pembersihan kawasan dan longkang tersumbat akibat sampah yang hanyut sewaktu banjir.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.