`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, January 29, 2022

Polis buru YouTuber menyelinap masuk Sunway Lagoon

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata, suspek memperdaya pekerja taman tema dengan mengatakan tertinggal telefon bimbit di dalam taman tema lalu dibenarkan masuk. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan tiga lelaki tempatan yang disyaki menyelinap masuk ke dalam kawasan taman tema Sunway Lagoon serta merakam dan memuatnaik video perbuatan mereka di laman Youtube.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata, kejadian itu disedari seorang pekerja taman tema berkenaan selepas melihat klip video itu di Youtube semalam, yang menceritakan bagaimana dua daripada mereka menyelinap masuk tanpa membeli tiket.

Katanya, video berkenaan dimuatnaik seorang lelaki menggunakan akaun Youtube ‘Ryaan Key’

“Suspek menceroboh masuk dengan cara melompat dari dinding pintu ‘surfbeach’ terus ke dalam kolam taman tema dengan mencampakkan telefon bimbit ke dalam kawasan taman tema.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman.

“Suspek memperdaya pekerja taman tema dengan mengatakan tertinggal telefon bimbit di dalam taman tema lalu dibenarkan masuk seterusnya suspek terus tidak dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang Youtuber.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi pihaknya di talian 03-56210343.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.