PETALING JAYA: Lelaki dikenali sebagai “Raja Bomoh” atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin, membuat laporan polis menafikan ritual menolak musibah banjir dilakukannya di Teluk Intan baru-baru ini bertentangan akidah dan syariat Islam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata laporan itu dibuat pada 12.30 tengah malam tadi di Balai Polis Teluk Intan.
Katanya, lelaki itu mendakwa upacara terbabit “hanya untuk mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir”.
“Laporan ini juga dirujuk kepada pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan pihak berkenaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Adnan berkata, susulan video ritual itu, Ketua Polis Balai Teluk Intan sudah membuat laporan polis pada 4.30 petang semalam.
Katanya, upacara itu dilakukan di tepi Sungai Perak dekat sebuah kuil di Dataran Sungai Perak, Teluk Intan.
“Laporan berkenaan juga dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, video tular selama 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama seorang wanita melakukan ritual menolak banjir yang didakwa petua zaman dahulu.
Susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilaporkan akan membuka kertas siasatan berhubung video ritual menolak musibah banjir yang tular di media sosial itu.
Pengarahnya, Mohd Yusop Husin berkata, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.