PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menarik balik klip video bertajuk “MC boleh menjadi rasuah” selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
SPRM dalam kenyataan berkata, video yang diterbitkan itu bertujuan mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.
Bagi konteks video itu, SPRM menjelaskan ia merujuk isu pemberian sijil cuti sakit (MC) palsu dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasatnya.
“Suruhanjaya ini tidak berniat menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan,” jelasnya.
Semalam, MMA menuntut klip video yang dianggap menghina kesucian dan imej profesion perubatan itu diturunkan segera.
Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, agensi antirasuah itu patut menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesej mereka.
“Sebagai doktor, kami sangat tersinggung dengan hantaran itu, yang patut diturunkan serta-merta,” katanya.
Dalam klip video dikongsikan di Twitter rasmi SPRM, seorang lelaki dilihat meminta MC walaupun doktor memberitahu dia sihat.
Lelaki itu kemudian menyerahkan sampul surat kepada doktor itu untuk “memudahkan” permintaannya. Doktor itu dilihat menerima sampul berkenaan sebelum menandatangani MC untuknya.
Video itu berakhir dengan kata-kata “semarakkan integriti, rasuah diperangi”.
Dalam pada itu, SPRM berkata, pihaknya menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan setiap pengamal perubatan, khususnya ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19.
“Sehubungan dengan ini, bersandarkan nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.