`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 4, 2022

SWCorp kumpul 10 tan al-Quran rosak akibat banjir

 

Mana-mana pihak tanpa mengira agama menemukan al-Quran dan dokumen telah dihanyutkan banjir wajar menyerahkannya kepada masjid dan surau terdekat, kata Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan dan Pembersihan Awam (SWCorp) Rizalman Mokhtar. (Gambar Facebook SWCorp Wilayah Persekutuan)

PETALING JAYA: Lebih 10 tan al-Quran yang rosak akibat banjir berjaya dikumpul Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan dan Pembersihan Awam (SWCorp), sejak 27 Dis lalu hingga semalam untuk dilupuskan.

Pengerusinya Rizalman Mokhtar, berkata usaha pengumpulan itu hasil kerjasama SWCorp Wilayah Persekutuan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah amat baik bagi menjaga kesucian ayat al-Quran.

“Mana-mana pihak tanpa mengira agama yang menemukan al-Quran dan dokumen yang telah dihanyutkan banjir wajar menyerahkannya kepada masjid dan surau yang terdekat.

“Masjid dan surau di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor boleh menghubungi SWCorp Wilayah Persekutuan untuk diuruskan pengambilan,” katanya menurut laporan Utusan.

Katanya, sejak 27 Disember tahun lalu, SWCorp Wilayah Persekutuan membantu mengutip dan menghantar sebanyak 5,631 kilogram Al-Quran dan dokumen yang rosak akibat banjir untuk pelupusan.

Rizalman berkata, selain itu, sebanyak 4,653.6 kilogram al-Quran pula dihantar terus ke Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.

Menurutnya, usaha pengumpulan ini akan diteruskan pihaknya sehingga 31 Januari ini.

“Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan SWCorp Wilayah Persekutuan bolehlah menghubungi beberapa wakil kami, Muhammad Fahmi (012-374 5935), Azlan (019-842 5442) dan Ummi Kalthum Shuib (019-4460300),” katanya.

Sementara itu, Jawi menerusi kenyataan berkata, selain Lembah Kelang, pihaknya menerusi Sukarelawan Masjid Wilayah Persekutuan turut membantu mengumpulkan al-Quran rosak akibat banjir di sekitar Mentakab, Pahang.

“Al-Quran yang rosak itu turut dibawa ke Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur untuk dilupuskan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.