Ada satu penyakit dalam kalangan agamawan yang tidak boleh kita diamkan. Mereka bukan mengajar agama di mimbar masjid dan surau. Akan tetapi, mereka memfitnah orang. Ada ulama itu malah mempunyai posisi, kadangkala mereka tok kadi atau tok mufti. Oleh pengaruh dan kesohoran mereka itu, fitnah tersebut tersebar dengan cepat dan membakar sehingga kadang rentung mangsa dibuatnya.
Saya amat mengerti kuasa fitnah ini memandangkan pernah menjadi sasaran seorang agamawan yang menyebabkan saya mengalami stigmatisasi berat sehingga hari ini. Karya-karya saya juga dijauhi dan kedudukan saya dalam masyarakat dan universiti terkesan. Saya memang tidak pernah mengambil tindakan terhadap beliau kerana bukan seorang hartawan. Ini menggalakkan lebih ramai pengikutnya yang retis melemparkan bermacam-macam lagi kata nista yang bohong. Untuk orang yang tiada kekuatan seperti saya, bisik saya dalam doa ialah supaya dapat menuding jari kepada beliau di hari akhir kelak.
Mujur juga saya ada menyaman bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan pengharaman buku-buku saya yang empat buah itu. Pada 10 Jan 2018, Mahkamah Rayuan di bawah Tengku Maimun Tuan Mat, yang pada ketika itu belum menjawat jawatan ketua hakim negara dan menjadi salah seorang hakim dalam kes saya ini, memihak kepada saya. Saya menang saman terhadap Zahid.
Salah seorang yang nampaknya sering menjadi mangsa fitnah adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa. Beliau yang juga naib presiden Amanah misalnya difitnah oleh ramai ustaz dan ustazah. Tuduhan tipu mereka di media sosial itu merumba. Fitnah berat ini telah pun berlegar dan mematuk mata telinga ramai orang sehingga ia menjadi kenyataan yang dipanjangkan lantas lekat di benak orang awam. Padahal, ia fitnah dan bohong.
Misalnya, fitnah terhadap saya telah pun tersebar luas dan diyakini oleh orang-orang besar Dewan Bahasa dan Pustaka misalnya. Saya terbenam dalam lubuk dalam. Akan tetapi, saya menang saman terhadap Zahid tidak cukup tersebar. Yang lekat di mercu bahasa dan sastera itu ialah pemomokan ke atas saya.
Itu sebab fitnah satu tindakan jahat. Apabila ia dilakukan oleh seorang ulama, mufti, tok guru, lebai, dan ustazah, maka ia jadi lebih kejam. Ini kerana mereka dipercayai dalam masyarakat. Maklumlah pemegang mikrofon masjid. Menurut ramai orang, kalau ia datang daripada surau atau graduan Madinah atau Jordan, tentulah mereka itu benar. Tambah-tambah kalau fitnah disulam ayat suci dan hadis yang dikutip luar konteks. Orang yang difitnah kadangkala, seperti saya, tidak berduit atau berpeluang untuk melawan dan membetulkan keadaan.
Hari ini, kaedah ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ sudah menjadi strategi orang yang berkuasa dan dijadikan senjata politik. Ia dilakukan di media sosial yang memberi ruang ia terserak secara merata dengan begitu cepat. Dalam tempoh satu minit misalnya fitnah akan menjadi ‘kenyataan’ atau ‘fakta’ yang diterima pakai. Sesungguhnya kaedah ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ ini merupakan cara yang dipakai oleh bekas presiden AS, Donald Trump, seorang raksasa media dan pemanipulasi kesan media. Beliau tahu yang bila seseorang difitnah, dakwaan itu akan tersebar luas. Permohonan maaf beliau kemudiannya akan diterima terhad. Bahkan kadangkala langsung tidak dilaporkan.
Jika kaedah ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ ini dilakukan pada malam pengundian PRU misalnya, tentulah impak itu besar. Calon yang disasarkan mungkin kalah, manakala yang memfitnah akan berada di pihak menang. Permohonan maaf sesudah itu tidak punya apa-apa lagi makna buat mereka yang menjadi mangsa. Pengundi jahil akan terpedaya dan percaya.
Maaf yang diutarakan selepas fitnah merentung hangus mangsanya tidak ada lagi erti apa-apa. Setiap permohonan maaf ada rukunnya, seperti sembahyang juga ada rukun. Ustaz yang memfitnah dan kalah saman misalnya mungkin meminta maaf, tetapi adakah mereka mengakui ia satu kesalahan? Kemudian adakah mereka betul-betul membuat sesuatu untuk membetulkannya? Jadi, memohon maaf itu ada rukunnya; pertama jelas sekali memohon maaf. Keduanya, mengaku ia satu kesalahan dan berpunca daripada perbuatan fitnahnya; dan ketiga, melakukan sesuatu secara ikhlas untuk membetulkan fitnah yang telah tergulir jauh tersebut.
Mengapa para agamawan kita boleh terlibat dalam aksi dan perbuatan keji ini? Padahal mereka itu ustaz dan ustazah? Beginilah caranya juga misalnya Saidina Ali disudutkan oleh kuasa Bani Umayyah, di mana dalam buku dan dokumen sejarah mencatatkan mereka yang baru memeluk Islam di Syria percaya bulat-bulat cerita dan fitnah di mimbar masjid mengenai ‘kekafiran Saidina Ali’ atau bapanya. Padahal, baginda antara orang yang terawal memeluk Islam. Fitnah terhadap Saidina Ali itu membuatkan beliau menjauhkan diri daripada politik beberapa dekad lamanya sehinggalah didesak memimpin umat selepas insiden pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan di Madinah. Fitnah itu juga nampaknya mendorong pembunuhan ke atas Saidina Ali akhirnya, ketika sedang memimpin sembahyang subuh di Masjid Kufah.
Jika fitnah menjadi makanan para ulama zaman klasik, maka tidaklah menghairankan fitnah menjadi kunyahan ustaz era sekarang tanpa segan silu. Kadang datang dari jemaah yang mengaku Islami. Pada satu ketika, Saidina Hasan Ali sedang berjalan di kota Mekah, beliau telah dimaki hamun oleh seorang jemaah haji yang datang dari Damsyik. Seumur hidup penghamun yang masih muda itu, beliau hanya mendengar fitnah tentang keluarga Saidina Ali dan anak-anaknya. Tidak ada akal logik digunakan bahawa yang disasarkan secara gila itu cucu-cucu Nabi. Pada waktu itu, tiada media sosial, tiada aplikasi WhatsApp atau Telegram untuk Saidina Hasan membela dirinya.
Justeru, Saidina Hasan terpaksa mendengar kata carut-marut daripada lelaki tersebut. Di hujung kata caci ini, Saidina Hasan bertanyakan asal-usulnya, dengan penuh beradab dan berakhlak mengajaknya ke rumah untuk dijamu makan sebagai musafir, dan malah diberikan bantuan sebagai seorang jemaah haji. Lelaki dari Damsyik tersebut langsung terkesima dan memohon maaf daripada baginda. Ternyata akhirnya akal rasio digunakan dan beliau memohon maaf. Akan tetapi, Saidina Hasan hanya dapat membetulkan keadaan pada satu orang. Ada ramai lagi di luar yang percaya beliau sudah kafir.
Hari ini, kaedah ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ ini dipanjangkan lagi oleh agamawan yang seronok mendapat mikrofon untuk dituding kepada orang yang mereka musuhi. Sasaran yang jadi bahan fitnah selalunya tidak dapat membalas, atau terkial-kial menjawabnya.
Para agamawan yang menggunakan kaedah ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian’ ini akan kekal ada zaman-berzaman. Tidaklah susah memastikannya. Kandungan ceramah mereka itu selalunya umpama muatan rancangan maharaja lawak, penuh kokok dan dedai. Ia dibumbui sensasi. Ulama yang baik tidak menjual hiburan dan komedi.
Kata Paulo Coelho, seorang pengarang terkenal; “fitnah itu dicipta oleh penjahat dan pembenci, disebarkan oleh orang jahil; dan diterima oleh mereka yang bebal.”
Bila ungkapan di atas diacukan dalam kes agamawan jadi kaki fitnah, kita akan beristighfar; ulama kita rupanya serupa iblis, yang mendengar di masjid menadah telinga itu serupa Abu Lahab, dan yang menerimanya itu seperti Badwi bangang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.